Lagi pemain badminton negara dibuli siber, BAM perlu lebih tegas, peminat harus lebih matang

369

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven baru-baru ini meluahkan kekesalannya terhadap ugutan serta kata-kata negatif yang diterimanya di media sosial selepas tewas di pusingan kelayakan Spain Masters.

Beliau mengecam tindakan individu-individu berkenaan dan berkata ini bukanlah kali pertama beliau dibuli siber seperti itu, malah beliau juga pernah menerima kata-kata negatif walaupun setelah menang.


Bukan itu saja, beliau juga berkata bahawa pemain wanita Scotland, Kirsty Gilmour juga pernah diserang di media sosial, sehingga diugut bunuh dan rogol.

Beliau betul-betul kecewa dengan tindakan segelintir ‘peminat’ badminton yang begitu ekstrem dan sanggup melakukan perbuatan buli siber terhadap pemain.

Isu ini bagaimanapun bukanlah sesuatu yang baharu khususnya dalam sukan badminton, seringkali berlaku kepada semua pemain sama ada di luar atau dalam negara.

Perbuatan ini sebenarnya adalah satu jenayah yang besar dan boleh dikenakan tindakan yang berat terhadap pelaku.

Di Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus lebih peka terhadap isu ini dengan mengambil tindakan kepada pelaku kerana ia boleh membuatkan pemain hilang motivasi.

Sebagai badan induk badminton negara, ia adalah menjadi sebahagian daripada tugasan mereka untuk melindungi para pemain.

Peminat pula haruslah membuang minda kelas ketiga seperti itu, dan sentiasa memberikan sokongan kepada para pemain.

Tidak salah untuk memberi kritikan kepada pemain sekiranya prestasi mereka tidak baik, tetapi pastikan kritikan yang diberi adalah membina bukan menjatuh atau melemahkan.

Pemain juga pastinya lebih menghargai sekiranya mereka menerima kritikan yang membina berbanding ugutan atau kata-kata kesat, dan berusaha untuk memperbaiki permainan mereka demi peminat setia.