Saddil Ramdani harap Indonesia tidak dikenakan hukuman gara-gara tolak Israel di Piala Dunia B-20

285

Pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani berharap Indonesia tidak dikenakan denda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas kejohanan Piala Dunia B-20 yang pada mulanya dijadualkan dianjurkan di negaranya terpaksa diubah lokasi.

Secara peribadi, beliau merasai kesedihan para pemain yang sudah berlatih bertungkus lumus untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan itu.


“Saya berharap bahawa Indonesia tidak dikenakan hukuman disebabkan hal yang sepatutnya tidak perlu jadi persoalan besar seperti ini.

Saya pastinya merasai kesedihan dan kekecewaan adik-adik yang sudah berjuang beberapa tahun kebelakangan ini untuk hadapi kejohanan itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata, harapan kini diletakkan kepada pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan kerajaan Indonesia untuk memperbaiki perkara itu.

Dalam pada itu, Saddil menganggap kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan sebelum ini memberi pengajaran yang baik untuk pasukan menjelang perlawanan seterusnya menentang KL City FC esok.

“Kami satu pasukan fokus kepada diri sendiri bagaimana kami boleh tingkatkan lagi semangat juang, kerana tewas kepada JDT sebelum ini memberi banyak pengajaran kepada kami.

Jurulatih juga telah beri semangat kepada kami untuk bangkit pada perlawanan selepas ini.”

Beliau melihat keserasian pasukan semakin baik dalam setiap perlawanan daripada permulaan saingan liga sehinggalah ke hari ini.

Saddil berharap setiap pemain dapat memberikan yang terbaik untuk mencapai sasaran yang dimahukan oleh mereka musim ini.