Masa awal dulu saya tahu orang kata saya hanya tahu Sports Toto, tapi saya mahu buktikan wanita mampu jaga KBS dengan baik – Hannah Yeoh

191

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bertekad mahu membuktikan kemampuan wanita dalam menggalas jawatan itu dan membuka jalan kepada wanita-wanita lain pada masa hadapan.

Beliau mengakui sedar terdapat ramai pihak yang agak skeptikal dengan pelantikan beliau menjawat jawatan tersebut tetapi percaya terdapat sebab mengapa beliau dilantik memegang portfolio itu.


“Masa awal saya dilantik, saya ada baca pelbagai komen atas talian contohnya saya hanya tahu Sports Toto, hanya tahu zumba, saya hanya baca itu sekarang dan saya gelak saja, kalau saya baca pada masa itu mungkin saya tersinggung.

Saya tak tahu berapa lama saya akan memegang jawatan ini jadi, jadi saya tak nak bazir sehari pun daipada masa saya dan membantu golongan yang harus dibantu supaya saya tidak menyesal di kemudian hari,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Hannah, beliau sukar untuk mendapatkan tidur yang cukup kerana terlampau sibuk dan sentiasa mengambil peluang untuk melelapkan mata di dalam kenderaan.

Beliau berkata, dalam sehari beliau perlu menghadiri banyak program sehingga mencecah tujuh atau lapan program di pelbagai tempat.

“Saya memang rasa penat tetapi nasib baik saya disediakan dengan pemandu jadi setiap kali dalam kereta saya akan ambil peluang untuk berehat seketika kerana kadang-kadang sehari saya ada tujuh atau lapan program.

Tetapi saya perlu memaksimumkan setiap hari yang ada untuk memastikan sukan dan golongan belia di negara ini sentiasa terbela.”

Jelasnya, jika beliau menangguh untuk menyelesaikan sesuatu masalah, terdapat pihak yang akan sengsara walau satu hari pun, disebabkan itulah beliau cuba yang terbaik untuk memastikan segala masalah diselesaikan secepat mungkin.

Sementara itu, Hannah berkata, sekiranya beliau bukan sorang ahli politik, beliau kemungkinan akan menjadi seorang pendidik atau penceramah motivasi.

Ini kerana, beliau merupakan seorang yang gemar bercakap dan memberi ucapan kepada orang ramai.