Saya tak mahu ulangi kesilapan Menteri KBS dahulu, sentiasa dengar pengalaman bekas menteri untuk perbaiki – Hannah Yeoh

290

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh mantan menteri-menteri terdahulu dan mahu sentiasa menambah baik kementerian itu dari semasa ke semasa.

Disebabkan itu, beliau mengambil langkah untuk bertemu beberapa bekas Menteri Belia dan Sukan terdahulu untuk mendengar nasihat dan pengalaman mereka.


“Saya berjumpa beberapa bekas Menteri Belia dan Sukan, mendengar pengalaman mereka ketika menjawat jawatan dahulu dan pandangan serta nasihat daripada mereka.

Saya bukan sahaja mahu mendengar kisah kejayaan daripada mereka tetapi juga kesilapan yang pernah mereka lakukan supaya saya tidak ulangi perkara yang sama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Hannah, beliau telah bertemu Tan Sri Abdul Ghani Othman, Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq sejak menjawat jawatan itu.

Katanya, banyak perkara yang telah beliau dapat daripada perjumpaan itu termasukn program Rakan Muda yang dicetuskan oleh Abdul Ghani, reformasi yang dilakukan oleh Syed Saddiq selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum pada 2018 dan program Podium yang dimulakan oleh Khairy.

Sementara itu, Hannah mengakui bahawa beliau mempunyai semangat dalam menyuarakan isu golongan kanak-kanak dan melihat portfolio Menteri Belia dan Sukan tidak mengehadkan perkara itu.

“Saya minat perjuangkan isu mengenai golongan kanak-kanak, sebagai seorang ibu saya lihat ada banyak perkara yang kita boleh perbaiki untuk kanak-kanak di negara ini.

Apabila saya dipilih untuk menjaga Kementerian Belia dan Sukan saya boleh masih terlibat dengan kanak-kanak kerana golongan ini juga ramai yang terlibat dalam sukan.”

Tambahnya, beliau gembira masih dapat melibatkan diri menjaga isu golongan kanak-kanak biarpun sudah memegang portfolio berbeza berbanding pada tahun 2018 hingga 2020.

Dalam tempoh tersebut, beliau merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.