Saya mahu bangunkan industri sukan supaya ia tidak lagi bergantung kepada penglibatan ahli politik – Hannah Yeoh

189

Penglibatan ahli politik dalam bidang sukan sentiasa menjadi perdebatan antara peminat sukan di negara ini dengan ada yang tidak bersetuju dan ada pula yang menganggap kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.

Bagi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, beliau melihat perkara ini agak kompleks kerana kebergantungan badan sukan terhadap ahli politik itu wujud disebabkan faktor tertentu.


Katanya, setelah menjawat jawatan tersebut, antara rungutan yang sentiasa beliau dengar daripada badan sukan adalah masalah kekurangan dana, dan penglibatan ahli politik boleh membantu dari segi dana yang diperlukan.

“Apabila kekurangan dana, persatuan sukan akan mencari patriot atau individu yang boleh memberi dana kepada mereka dan kebanyakan Tan Sri atau Datuk mempunyai latar belakang politik jadi secara langsung atau tidak langsung, ahli politik itu sendiri dijemput masuk dalam persatuan sukan.

Bagi saya jika ahli politik itu tahu bezakan ideologi politik dalam persatuan sukan itu baguslah, tetapi jika ada yang libatkan politik bagi saya persatuan sukan itu sendiri perlu buat keputusan untuk hentikan budaya tersebut,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Hannah, beliau sendiri memastikan dirinya tidak mempolitikkan isu sukan dan sentiasa adil walaupun melibatkan persatuan sukan ayng dipegang oleh golongan pembangkang.

Tambahnya, beliau sedang berusaha untuk membangunkan industri sukan supaya satu hari nanti ia tidak perlu bergantung kepada penglibatan ahli politik.

“Satu hari nanti, apabila dana untuk persatuan sukan itu tidak bergantung kepada ahli politik, ketika itulah persatuan sukan akan bebas daripada ahli politik.

Namun sehingga kita dapat mencapai matlamat itu, saya lihat agak sukar untuk elakkan penglibatan ahli politik, tetapi itulah matlamat yang saya mahu capai dalam tempoh lima tahun ini.”

Hannah berkata, beliau mahu membangunkan industri sukan supaya ia boleh kekal berjalan seperti biasa walaupun menteri sentiasa bertukar.