Harimau Muda diundi dalam kumpulan ‘maut’ di Sukan SEA Kemboja

234

Pasukan kebangsaan B-23 Malaysia berdepan tugas yang cukup besar pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan berlangsung pada bulan Mei depan apabila telah diundi dalam kumpulan maut.

Dalam majlis undian yang berlangsung sebentar tadi, skuad kendalian E. Elavarasan telah diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Vietnam, Thailand, Singapura dan Laos.


Walaupun diundi dalam kumpulan yang cukup mencabar berikutan bersama juara 16 kali Thailand dan juara tiga kali Vietnam, namun ia adalah satu cabaran yang cukup menarik buat skuad negara.

Ini kerana skuad Harimau Muda turut hadir dengan reputasi sebagai juara sebanyak lima kali dan anak buah Elavarasan baru sahaja menjulang Piala Merlion 2023 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini, oleh itu pastinya mereka mahu teruskan momentum kemenangan ini.

Biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran tinggi buat mereka iaitu untuk layak ke perlawanan akhir kerana kali terakhir mereka berjaya layak ke perlawanan akhir adalah pada Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia di mana ketika itu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 1-0 kepada Thailand.

Selain mahu layak ke perlawanan akhir, majoriti peminat bola sepak tanah air meletak sasaran untuk skuad negara meraih pingat emas dalam sukan bola sepak kerana ia merupakan ibu kepada semua pingat emas di temasya itu.

Kali terakhir skuad negara berjaya memenangi pingat emas adalah 12 tahun yang lalu ketika Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Oleh itu, saingan peringkat kumpulan kali ini akan menjadi petanda samada skuad negara mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh FAM atau tidak.

Jika mereka berjaya lepasi peringkat kumpulan, maka laluan mereka ke perlawanan akhir akan menjadi lebih mudah dan tidak mustahil mampu memperoleh pingat emas.