PFAM perlu mainkan peranan terhadap kemelut Kelantan FC

461

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang merupakan sebuah organisasi perwakilan pemain bola sepak profesional di Malaysia perlu melihat isu yang berlaku terhadap pasukan Kelantan FC.

Hal ini kerana tidak sampai pertengahan musim lagi sudah ada permasalahan yang berlaku terhadap pasukan Liga Super dimana jurulatih Kelantan, Choi Moon Yik telah menjadi jurulatih pertama direhatkan pada musim ini.


Apa yang menjadi tanda tanya pastinya mengenai faktor yang menyebabkan jurulatih tersebut direhatkan kerana keputusan tersebut telah dibuat oleh pengurusan secara tiba-tiba.

Tetapi permasalahan ini telah dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif JMH Sports Agency, Leo Jeong apabila menyuarakan perkara sebenar yang berlaku terhadap jurulatih Kelantan itu.

Jeong berkata permasalahan ini berlaku apabila terdapat campur tangan pihak pengurusan kelab dalam menentukan pemilihan pemain kesebelasan utama yang akan beraksi dan tindakan merehatkan jurulatih tersebut telah dirancang.

Beliau turut berkongsi berkaitan masalah-masalah lain yang dihadapai oleh kelab tersebut seperti masalah tunggakan gaji dan kebajikan para pemain The Red Warrior yang tidak dijaga.

Ia sudah pasti perkara yang perlu diambil serius oleh pihak PFAM yang sentiasa ingin memastikan kebajikan para pemain perlu dijaga oleh setiap kelab lebih-lebih lagi berkaitan bayaran gaji mereka.

Walaubagaimanapun, pemilik Kelantan iaitu Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Bos Zam telah mengeluarkan kenyataan bagi pihak pengurusan terhadap isu yang berlaku.

Katanya keputusan merehaatkan Choi adalah kerana selepas kekalahan berterusan dan kesukaran komunikasi antara pemain dan jurulatih selain tiada laporan prestasi daripada ketua jurulatih.

Malah beliau turut mengatakan semua gaji pemain telah dibayar dan jika ada yang mengatakan berbulan-bulan tidak dapat gaji itu adalah satu fitnah buat kelab tersebut.

Mungkin pihak PFAM tidak boleh mengambil sebarang tindakan buat masa ini berikutan tiada laporan rasmi yang dibuat oleh pemain kelab itu, namun mungkin mereka sudah boleh mula merisik situasi semasa pasukan tersebut supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengelak masalah lebih besar timbul nanti.