Soleen Al-Zoubi akui berdepan misi sukar di Sukan SEA Kemboja, namun harap Malayan Tigress akan timba pengalaman berharga

125

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita, Soleen Al-Zoubi mengakui berdepan misi dan tugas sukar pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 selepas mereka diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Filipina, Myanmar dan Indonesia.

Soleen bagaimanapun tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah besar buatnya walaupun akan berdepan dengan dua pasukan yang bermain di Piala Dunia.


“Ini adalah nasib kami, jadi tiada masalah. Kami akan bermain dengan tiga pasukan terbaik dengan dua daripadanya bermain di Piala Dunia iaitu Vietnam dan Filipina dan juga Myanmar yang merupakan pasukan terbaik di rantau ini.

Saya percaya kita akan berdepan tugas dan misi yang sukar tapi apa yang kami jangkakan di peringkat ini kami harapkan untuk menimba pengalaman sebanyak yang mungkin dengan menyertai temasya Sukan SEA,”

katanya.

Tambah Soleen lagi, pasukan yang dibawa ke Kemboja nanti adalah sebuah pasukan yang baru dibina dengan ramai pemain-pemain baru.

Dalam pada itu, Soleen mengakui mahu melihat keputusan yang baik pada temasya itu nanti, namun ia bukanlah keutamaan sebaliknya beliau berharap dapat melihat aksi persembahan yang baik oleh pemain-pemainnya.

Ini merupakan cabaran besar buat Soleen sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Malayan Tigress bagi menggantikan Jacob Joseph.

Pelantikan beliau mendapat reaksi yang cukup positif kerana Soleen mempunyai reputasi yang cukup baik termasuk pernah membawa skuad kebangsaan wanita Jordan B-17 layak ke Piala Dunia Wanita B-17 pada tahun 2016.