Mitoma beri sebab mengapa Malaysia perlu satu kumpulan bersama Jepun di Piala Asia 2023

5,171

Brighton & Hove Albion FC bukanlah sebuah kelab yang sebelum ini dilihat mampu melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), tetapi segalanya berubah pada musim ini dengan prestasi yang cemerlang dipamerkan dalam saingan liga.

Hal ini kerana pasukan tersebut telah mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di mana Brighton ketika ini berada di tangga ke-enam liga.


Pasukan tersebut mempunyai kelebihan apabila mempunyai kurang dua perlawanan yang membolehkan mereka melonjak ke tangga ketiga liga jika memenangi kedua-dua perlawanan tersebut.

Apa yang lebih menarik adalah pemain utama pasukan ini merupakan pemain Asia dari negara Jepun iaitu Kaoru Mitoma yang berpeluang mencipta sejarah membawa pasukannya itu layak ke saingan tertinggi Eropah.

Pemain berusia 25 tahun itu telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan sepanjang bermain bersama Brighton pada musim ini di EPL.

Setakat ini Mitoma telah membuat penampilan sebanyak 22 perlawanan EPL dengan 1.448’ minit permainan serta telah berjaya menjaringkan tujuh gol dan empat bantuan jaringan dalam saingan liga.

Mitoma juga telah berjaya menjadi penyelamat pasukan ketika perlawanan menentang Liverpool FC dalam saingan FA Cup pusingan keempat apabila menjaringkan gol kemenangan di saat-saat akhir perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan Brighton menang 2-1.

Pemain muda Jepun itu telah membuktikan bahawa dalam permainan bola sepak moden, tiada perkara yang mustahil untuk pemain Asia bersaing di Eropah terutama dalam liga terkemuka seperti EPL.

Ia juga akan memberikan kelebihan kepada pasukan negara jika mempunyai pemain yang bermain di liga kompetitif seperti pasukan Jepun yang ketika ini sebaris dengan negara-negara Eropah lain.

Jika dilihat skuad Harimau Malaya yang bakal beraksi di pentas Piala Asia 2023 akan mempunyai peluang untuk diundi untuk berada dalam kumpulan bersama pasukan gergasi Asia seperti Jepun.

Ini merupakan peluang terbaik buat pasukan negara jika diundi satu kumpulan bersama Jepun kerana pemain Malaysia akan mendapat lebih banyak pendedahan apabila bertemu skuad Samurai Biru yang setanding dengan gergasi Eropah.

Walaupun di atas kertas jelas memihak kepada pasukan Jepun, tetapi ia dilihat sebagai satu pengalaman berharga buat para pemain untuk menonjolkan aksi yang terbaik seterusnya dapat mengetahui tahap sebenar mereka apabila berdepan dengan gergasi Asia itu.

Bukan sahaja Jepun, kita juga mengharapkan agar pasukan kebangsaan akan diundi dalam kumpulan yang turut dihuni oleh sebuah lagi pasukan gergasi Asia iaitu Korea Selatan kerana di pentas Piala Asia sahaja Malaysia akan mempunyai peluang untuk menentang pasukan gergasi Asia.