KBS tak saran program naturalisasi, Malaysia ada 32 juta penduduk, kita mampu lahirkan atlet sendiri – Hannah Yeoh

1,102

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya Malaysia tidak perlu terlalu bergantung harap kepada warga asing untuk menaikkan lagi tahap sukan-sukan tertentu di negara ini.

Menurutnya, negara mempunyai bakat-bakat yang bagus yang hanya perlu dicungkil dan diasah lagi untuk lebih berjaya.


“Saya percaya dengan populasi Malaysia seramai 32 juta, kita mampu untuk lahirkan atlet kita sendiri, bagi saya sendiri memang tak sarankan untuk banyakkan naturalisasi warga asing untuk bangunkan sukan kita.

Tetapi kita haruslah giat mencari dan memberi peluang kepada warga tempatan untuk tonjolkan bakat, itu perkara yang saya mahu perbaiki,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tegas Hannah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) harus membuat keputusan sama ada mereka mahu mempromosikan budaya pengambilan warga asing untuk dinaturalisasikan atau pemain tempatan.

Katanya, KBS sukar untuk membuat dasar berkenaan program naturalisasi dalam sukan sekiranya tiada dasar daripada MOM mengenai isu itu.

“Saya ada cakap ketika dialog saya dengan MOM baru-baru ini, dalam MOM sendiri perlu ada dasar berkenaan perkara ini.

Jadi MOM perlu adakan perbincangan dahulu dari segi visi, objektif mereka supaya dapat membantu kerajaan buat dasar bagi permohonan naturalisasi.”

Hannah melihat sukan terbahagi kepada dua fasa, di mana fasa pertama adalah dari peringkat pembangunan akar umbi dengan memastikan semua peringkat umur terlibat, dan satu lagi adalah sukan berprestasi tinggi yang mempunyai keupayaan untuk menyumbang pingat.

Beliau menganggap tidak semua sukan memerlukan pemain naturalisasi untuk mencipta kejayaan buat negara.