E. Elavarasan tetap optimis peluang skuad Harimau Muda di Sukan SEA

235

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-22, E. Elavarasan tetap optimis dengan peluang pasukannya walaupun diundi dalam kumpulan ‘maut’ pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan berlangsung pada bulan Mei ini.

Dalam majlis undian yang berlangsung petang tadi, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Vietnam, pasukan pilihan Thailand, Singapura dan Laos.


“Satu undian yang menarik dan mencabar dalam masa yang sama selepas kami diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan pertandingan seperti Thailand.

Di sebalik pasukan negara harus realistik dengan keputusan undian tersebut, saya kekal optimis bahawa skuad B-22 memiliki potensi sama seperti pasukan-pasukan lain di mana kami juga memiliki keyakinan untuk turun dalam kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti,”

katanya.

Tambah Elavarasan lagi, biarpun diundi dalam kumpulan yang mencabar, fokus dan visi beliau serta pemainnya tidak akan berubah.

Malah mereka juga bersedia untuk berdepan mana-mana pasukan sahaja dan pengendali berusia 61 tahun itu akan memastikan pasukannya berada dalam keadaan bersedia.

Skuad B-22 kini dalam misi untuk menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA selepas 12 tahun apabila kali terakhir mereka berjaya melakukannya adalah pada tahun 2011.

Anak buah Elavarasan telah bermula dengan langkah kanan apabila mereka baru sahaja menjulang Piala Merlion 2023 di Singapura baru-baru ini, sekaligus berada pada momentum terbaik sebelum terbang ke Kemboja nanti.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meletak sasaran untuk skuad negara mara ke perlawanan akhir untuk edisi kali ini.