Dalam bola sepak kadang-kadang nasib mainkan peranan, kita lakukan kesilapan yang sukar diterima – Ong Kim Swee

440

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap pasukannya tidak bernasib baik tewas kepada KL City FC pada malam ini walaupun lebih banyak mengawal permainan.

Katanya, ketumpulan penyudah merupakan salah satu faktor kekalahan pasukannya pada malam ini, dan para pemain juga melepaskan gol yang tidak sepatutnya mereka lepaskan.


“Kadang-kadang dalam bola nasib itu berlaku, kita tahu apabila kita kawal permainan dengan baik tetapi kita tak berjaya jaringkan gol dan pihak lawan ambil kesempatan.

Kita lalai dan hilang fokus apabila gol pertama dijaringkan di mana bagi saya itu kesilapan yang sukar diterima, juga untuk gol kedua di mana kita sibuk dapatkan gol penyamaan dan kemudian lakukan kesilapan,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui sukar apabila terpaksa berkelanan di Kuala Lumpur agak lama kerana bermain tiga kali berturut-turut di gelanggang lawan tetapi tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan.

Katanya, ia harus menjadi pengajaran dalam memastikan pasukannya tidak lagi terlepas mata ketika menentang Negeri Sembilan FC selepas ini.

“Apabila bermain di gelanggang lawan tiga perlawanan berturut-turut ia memang sukarkan sikit kerana kita harus berkelana agak lama di Kuala Lumpur untuk dapatkan rehat yang cukup.

Tetapi ia bukanlah alasan dan kita perlu berfikir semula kerana selepas ini kita akan main di gelanggang lawan lagi selepas ini.”

Beliau memberi kredit kepada KL City yang bertahan dengan begitu baik dalam memastikan anak-anak buahnya tidak menjaringkan gol.