T Saravanan mahu dapatkan lebih minit permainan untuk terpilih ke Sukan SEA, Azri Ghani sedia wakili Malaysia sekiranya diperlukan

351

Pemain KL City FC, T Saravanan berharap akan mendapatkan banyak lagi minit permainan supaya mencerahkan peluangnya untuk ke Sukan SEA 2023.

Katanya, beliau mahu membuktikan kemampuannya apabila diberi peluang untuk turun seperti perlawanan menentang Sabah FC sebentar tadi.


“Saya memang nak buktikan lagi pada perlawanan-perlawanan selepas ini, saya nak tunjukkan kepada kelab dan pasukan kebangsaan supaya terpilih ke Sukan SEA.

Ini juga adalah untuk keluarga saya dan juga para penyokong kelab ini,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan 2-0 menentang Sabah yang menyaksikan beliau menjaringkan gol pertama.

Dalam pada itu, penjaga gol KL City, Azri Ghani berkata beliau mahu mengambil peluang ketiadaan Kevin Mendoza untuk membuktikan kemampuannya.

“Apabila jurulatih beri peluang saya kena gunakan betul-betul kerana ini juga adalah untuk masa depan saya.

Macam malam ini, saya dapat peluang dan saya kena perbaiki lagi apa yang kurang untuk perlawanan selepas ini.”

Menurut Azri, sekiranya beliau dipanggil untuk mewakili negara di Sukan SEA 2023 sebagai salah seorang pemain senior, beliau bersedia untuk berkhidmat.

Beliau bersyukur KL City berjaya mencatat kemenangan pertama pada malam ini selepas lima perlawanan Liga Super.