Giliran Kedah Darul Aman FC cuba leburkan rekod tanpa kalah JDT, tapi bukan senang tanpa dua tonggak pertahanan

2,303

Menjelang pertemuan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Ahad ini, pastinya merupakan satu perlawanan yang dinantikan antara dua pasukan di tangga teratas liga setakat ini.

JDT dilihat tiada masalah dari segi kecederaan mahupun pengantungan pemain, tetapi sebaliknya buat kem KDA mereka akan berdepan sedikit masalah apabila dua pemain utamanya digantung satu perlawanan bagi perlawanan seterusnya itu.


Dua pemain tersebut adalah pemain pertahanan kiri dan kanan iaitu Ariff Farhan dan Wan Amirul Afiq yang sering diturunkan oleh ketua jurulatih mereka Nafuzi Zain.

Ariff Farhan digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning, sementara Wan Amirul Afiq pula telah dilayangkan kad merah selepas mendapat dua kad kuning dalam perlawanan menentang Penang FC semalam.

Ia pasti merencatkan sedikit persiapan jurulatihnya, Nafuzi untuk merencana taktikal pasukan bagi berhadapan juara bertahan Liga Super tersebut di tempat lawan.

Tetapi tiada apa yang mustahil kerana KDA masih mempunyai beberapa pemain yang boleh menggalas tanggungjawab bagi posisi tersebut seperti Kamil Akmal, Heshamudin, Akmal Zahir dan Azrin Afiq.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu dimana JDT menang 4-1 di gelangan mereka sendiri dalam saingan Liga Super musim lepas.

Ini juga adalah peluang buat pasukan KDA untuk merapatkan lagi jurang mata dengan pendahulu liga tersebut bagi memberikan saingan dalam merebut kejuaran liga pada tahun ini.

Nafuzi yang pertama kali membimbing Kedah untuk bertemu JDT, pasti akan merencana taktikal terbaiknya untuk memastikan dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari bumi Johor nanti.

Umum mengetahui dengan perseteruan di antara kedua-dua gergasi ini sejak beberapa musim yang lalu di mana setiap kali KDA dan JDT bertemu pastinya ia akan menjadi perlawanan yang cukup menarik dan tidak lari juga dengan pelbagai insiden yang berlaku.

Dijangka tiket untuk perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) ini habis terjual dan berkemungkinan akan mencipta rekod baru dengan jumlah kehadiran lebih 20,000 sekaligus mengatasi jumlah penonton yang hadir pada perlawanan di antara JDT dan Sabah FC baru-baru ini.