Thailand dan Malaysia tak sama kerana bakar suar “sudah dibenarkan” di Malaysia

886

Kebiasaannya, aktiviti membakar suar oleh penyokong di dalam stadium pasti akan berhadapan tindakan keras kerana ia merupakan barang yang dilarang dibawa ke dalam stadium dan amat berbahaya apabila dibakar di tempat awam.

Perkara ini boleh dilihat apabila Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) telah mendenda Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) sebanyak $20,000 (RM88,110.00) selepas sekumpulan kecil penyokong mereka menyalakan suar di dalam stadium.


Kejadian ini berlaku semasa perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF 2022 yang membabitkan antara pasukan Thailand dan Filipina pada 26 Disember 2023.

Insiden ini bukanlah pertama kali berlaku di Thailand apabila pada tahun 2017, FAT juga telah didenda oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebanyak $30,000 (RM135,000) atas tindakan penyokong mereka membakar suar ketika perlawanan akhir kedua Piala AFF.

Bakar suar tidak hanya berlaku di Thailand sahaja, tetapi juga di Malaysia yang mana setiap musim pasti ada insiden penyokong membakar suar dalam stadium dan baru-baru ini juga telah berlaku dan perkara ini mendapat perhatian ramai.

Ramai yang tertunggu-tunggu kenyataan rasmi daripada pihak pengelola Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL), namun ia sebenarnya bukan dibawah bidang kuasa MFL sebaliknya insiden bakar suar ini adalah dibawah bidang kuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun sehingga kini, FAM menerusi Jawatankuasa Tataterbit FAM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi untuk memaklumkan samada mereka sudah menghantar surat kepada pihak kelab atau tidak.

Ini telah mencetuskan persoalan ramai samada pembakaran suar dalam stadium sudah dibenarkan atau tidak kerana tiada respon pantas daripada pihak berkenaan sedangkan ia merupakan satu kesalahan kerana ia sudah diharamkan kerana berbahaya dan boleh mencederakan penyokong.

Malah, FAM sebelum ini juga pernah mendenda beberapa kelab atas kesalahan membakar suar kerana ia telah melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Dalam pada itu, selain persoalan mengapa masih tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut, ramai juga yang mempersoal bagaimana ada penyokong yang lepas membawa suar masuk ke dalam stadium.

Ini kerana setiap penyokong yang mahu masuk ke stadium akan diperiksa oleh pegawal yang menjaga pintu masuk bagi memastikan tiada barangan larangan di bawah masuk.

Adakah berlakunya salah guna kuasa dalam kalangan penjaga pintu stadium yang hanya ‘memejamkan’ mata dan benarkan suar dibawa masuk ke stadium?

Atau sudah berlaku perubahan peraturan di mana suar sudah dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium?

Diharap pihak berkenaan dapat tampil membuat penjelasan mengenai insiden ini secepat mungkin supaya tiada spekulasi liar terus bertebaran dalam kalangan penyokong.