Kita dah bersedia untuk beri saingan dan lawan pasukan kuat seperti Thailand – Petronella Douny

124

Ketua jurulatih skuad wanita B-17 negara, Petronella Douny percaya anak-anak buahnya mampu memberi saingan dalam kelayakan Piala Asia Wanita B-17 pada hujung bulan ini.

Katanya, beliau sudah mengendalikan rata-rata pemain dalam pasukan ini serta melihat potensi yang mereka ada, dan beliau akan berusaha untuk meningkatkan lagi kekuatan mental dan motivasi pemain menjelang saingan itu.


“Sebelum saya latih pasukan ini saya ada kendalikan 16 pemain dalam pasukan ketika kejohanan di Jepun, bagi saya ia dapat membantu untuk persediaan ke kelayakan Piala Asia Wanita B-17 nanti.

Berdasarkan prestasi di Jepun saya percaya kita bersedia untuk menentang pasukan Thailand kerana mereka satu pasukan dengan kita,”

katanya.

Beliau berkata, matlamat utama pada kejohanan itu adalah untuk memberi pendedahan kepada para pemain serta memberi saingan yang sengit kepada pasukan lain.

Katanya, dipilih mengendalikan Malayan Tigress B-17 adalah satu cabaran buatnya dan beliau mempunyai fokus tersendiri untuk melahirkan pemain yang berkualiti.

“Fokus utama saya untuk mereka adalah bermain dengan penuh kualiti supaya dapat diserap ke dalam skuad B-20 dan pasukan senior.

Saya percaya jika mereka diberi kepercayaan, mana-mana tahap pun mereka boleh bermain tetapi sekarang kita harus jadikan mereka pemain yang matang terlebih dahulu.”

Tambah Petronella, beliau sentiasa berkomunikasi dengan ketua jurulatih pasukan senior, Soleen Al-Zou’bi bagi memastikan skuad B-17 negara turut diterapkan dengan gaya permainan sama.

Beliau berharap, pemain-pemain di bawah bimbingannya akan naik ke pasukan B-20 dan pasukan senior satu hari nanti.