Kekuatan Malayan Tigress B-17 adalah pemain laju – Asma Munajati Ihsan

244

Pemain skuad B-17 wanita kebangsaan, Asma Munajati Ihsan percaya kekuatan yang dimiliki oleh pasukan itu untuk menempuhi kelayakan Piala Asia Wanita B-17 di Thailand hujung bulan ini.

Katanya, Malaysia mempunyai ramai pemain yang laju dan kualiti yang tidak jauh beza dengan pasukan lain yang berada dalam kumpulan sama iaitu Thailand, Indonesia dan Northern Mariana Islands.


“Saya yakin kita mampu bersaing dengan pasukan lain, memang agak sukar tetapi saya percaya dengan rakan-rakan kita boleh.

Bagi saya kekuatan kita adalah kelajuan kerana kita ramai pemain yang pantas dalam pasukan,”

katanya.

Sementara itu, beliau gembira dipilih dalam kem latihan kali ini dan teruja bermain di bawah ketua jurulatih baharu, Petronella Donny.

Katanya, beliau belajar banyak perkara di bawah bimbingan Petronella sebelum ini seperti taktikal dan gaya permainan baharu.

“Saya bersyukur terpilih antara 25 pemain untuk ke kem latihan, ini adalah hari pertama kami dan saya gembira mulakan latihan untuk kelayakan Piala Asia Wanita B-17.

Ketika pertama kali bermain di bawah bimbingan coach Petronella, saya dapat belajar banyak taktikal, gaya permainan baharu.”

Katanya, beliau mempunyai sasaran peribadi untuk memberikan terbaik buat negara dan berharap pasukan layak ke pusingan seterusnya.