Tidak mudah buat kami, tetapi pasukan ini ada ramai pemain berbakat – Adlin Bandi

131

Pemain Malayan Tigress B-17, Adlin Bandi mengakui Malaysia bakal berdepan cabaran pada aksi kelayakan Piala Asia B-17 berdepan pasukan Thailand, Indonesia dan Northern Mariana Islands.

Namun, beliau yakin Malaysia mempunyai kualiti tersendiri dan boleh mendapatkan keputusan yang positif pada saingan itu.


“Untuk saingan ini tidak mudah bagi kami yang akan berdepan pasukan Indonesia dan Thailand tetapi saya percaya dengan semangat yang semua pemain ada kami boleh mendapatkan keputusan yang posisif.

“Saya lihat pasukan ini dipenuhi dengan pemain-pemain yang berbakat dan mempunyai skil masing-masing, yang menjadikan ia sebuah pasukan yang berkualiti,”

katanya.

Beliau mengakui ada perasaan gementar dalam diri namun percaya dengan perancangan ketua jurulatih, Petronella Donny.

Tambahnya, kejayaan menjaringkan gol pada Kejohanan Jenesys di Jepun baru-baru ini menambah semangat serta motivasi buat dirinya menjelang kelayakan Piala Asia B-17.

“Ia adalah pengalaman terbaik saya pada kejohanan itu, masa itu saya memang merancang untuk jaringkan gol dan berjaya juga.

Saya dapat rasakan ia membakar semangat saya untuk berlawan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat lagi selepas ini.”

Adlin berkata, suasana kem latihan yang begitu ceria membuatkan dirinya gembira dan bersemangat menyertai kem latihan kali ini.

Beliau juga berkata bahawa semua pemain ketika ini begitu positif untuk mengharungi saingan berkenaan.