Peluang kita untuk ke Olimpik adalah kosong, tak perlu belanja wang hantar pasukan ke kelayakan – Soleen Al-Zou’bi

1,448

Ketua jurulatih wanita kebangsaan, Soleen Al-Zou’bi mengakui beliau mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak bersaing pada kelakan Sukan Olimpik.

Beliau berkata, buat masa ini peluang Malayan Tigress untuk layak ke Sukan Olimpik adalah kosong dan beliau tidak mahu membazirkan wang bagi menghadapi saingan itu.


“Saya berterima kasih kepada FAM kerana terima cadangan saya untuk tidak turut serta dalam kelayakan Sukan Olimpik, saya percaya pasukan ini masih belum bersedia, ditambah dengan ketiadaan liga untuk kita pilih pemain.

Hanya dua pasukan Asia sahaja yang akan layak ke kejohanan itu dan bagi saya peluang kita sekarang adalah kosong jadi kenapa mahu belanjakan wang untuk itu, lebih baik ia dilaburkan untuk persediaan ke Sukan SEA dan kejohanan akan datang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bagi Soleen, melihat pasukan lain bermain pada kelayakan Sukan Olimpik juga adalah kelebihan yang baik untuk Malaysia kerana dapat menganalisa permainan pasukan berkenaan dan bersedia dengan lebih baik apabila bertemu pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau menganggap bahawa peluang buat pasukan wanita negara untuk layak ke Piala Dunia adalah lebih besar berbanding pasukan lelaki, namun ia memerlukan asas yang kukuh dari peringkat akar umbi.

“Saya percaya pasukan wanita ada peluang yang lebih baik untuk ke Piala Dunia berbanding pasukan lelaki dan kita sedang dalam perancangan untuk mewujudkan satu liga yang kompetitif untuk wanita.

Jika liga ini sudah ada, kita boleh bina asas yang kukuh dan boleh lahirkan lebih ramai pemain untuk pasukan kebangsaan yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.”

Beliau melihat kualiti yang ada pada pemain negara tidak jauh daripada negara-negara besar lain.

Tambahnya, Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan-pasukan di kelompok teratas dengan lebih cepat sekiranya pembangunan bola sepak wanita dilakukan dengan segera.