Jordan Mintah ‘the saviour’ Terengganu FC!

720

Terengganu FC sekali lagi membuatkan penyokong mereka cemas lagi di awal musim Liga Super apabila bermula dengan dua kekalahan berturut-turut sekaligus mengulangi episod sama seperti musim lalu.

Permulaan yang perlahan telah menyebabkan ramai peminat yang mula mempersoal kredibiliti ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner dan beberapa pemain yang dilihat tidak mampu mengulangi kejayaan musim lalu, tambahan pula musim ini mereka akan beraksi di pentas Piala AFC.


Bagaimanapun, skuad Sang Penyu tampaknya sudah memperlihatkan taring mereka terutamanya apabila mencatat beberapa kemenangan termasuk kemenangan besar 5-0 menentang Kelantan FC baru-buru ini.

Antara pemain paling mencuri tumpuan sudah semestinya kepada penyerang import mereka iaitu Jordan Mintah yang boleh dikatakan menjadi wira buat pasukan sejak mula diturunkan sebagai kesebelasan utama sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Malah Mintah juga sudah menjaringkan empat gol dan sekaligus kembali menceriakan penyokong-penyokong Terengganu.

Steinbruckner juga dilihat seperti sudah mendapat ramuan tepat untuk membentuk serangan yang ampuh dengan menggandingkan Mintah, Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn (MMA).

Mintah memberi definasi seseorang pemain yang benar-benar cintakan pasukannya dan sentiasa memberikan komitmen tinggi setiap kali menyarung jersi Terengganu.

Beliau yang bersinar bersama Terengganu FC II sebelum ini mendapat beberapa tawaran dari kelab Liga Super pada musim lalu tetapi menolak tawaran tersebut kerana masih sayangkan Terengganu.

Walaupun prestasi beliau tidak konsisten pada musim lalu sehingga menyebabkan beliau dipinjamkan ke KL City FC, namun Mintah dengan jelas memberitahu bahawa beliau mahu kekal di Kuala Terengganu.

Setelah beberapa musim, beliau akhirnya berjaya menembusi skuad utama sebagai penyerang utama dan kini menjadi penyelamat Terengganu.

Terengganu kini menduduki tempat kelima liga selepas lapan perlawanan hasil empat kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Dengan prestasi semasa, Terengganu dijangka akan terus ‘mengganas’ dan Melaka FC mungkin menjadi mangsa mereka yang berikutnya apabila kedua-dua pasukan akan bertemu dalam perlawanan kalah mati Piala FA pada 14 April ini.