Suphanat Muenta terima tawaran daripada Leicester City, akan ke Belgium untuk dapatkan permit dahulu

1,397

Pemain muda Thailand, Suphanat Muenta dilaporkan telah menerima tawaran kontrak daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City.

Walaubagaimanapun, pemain itu dikhabarkan akan dihantar ke pasukan Belgium, OH Leuven (pasukan milik King Power International Group yang juga memiliki Leicester City) bagi mendapatkan permit kerja terlebih dulu.


Ini kerana, FA England menetapkan beberapa kriteria untuk mendapatkan permit untuk beraksi di EPL bagi bukan pemegang pasport Kesatuan Eropah (EU).

Perkara ini disahkan oleh sumber yang menyatakan bahawa Suphanat tidak akan dilepaskan untuk Sukan SEA atas sebab itu.

Beliau harus ke Eropah secepat mungkin sejurus sahaja Liga Thailand tamat untuk memulakan permit beraksi di Eropah.

Ini pastinya satu sejarah baharu dalam bola sepak Thailand sekiranya beliau berjaya mendapatkan kontrak bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Minat yang ditunjukkan oleh Leicester City itu dilihat menunjukkan bakat yang ada pada Suphanat adalah amat luar biasa.

Tidak ramai pemain daripada Asia Tenggara yang berjaya memikat kelab daripada EPL, lebih-lebih lagi mereka begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya selepas beliau menjalani sesi latihan bersama pasukan itu pada Januari lalu.

Dengan umurnya yang masih muda, Leicester dilihat kelab yang mampu menyerlahkan lagi potensinya, dan tidak mustahil beliau mampu menjadi pemain pertama dari negara itu yang beraksi di EPL.

Perpindahan itu juga mampu membuka lebih banyak pelaung buat bakat-bakat Asia Tenggara di liga utama Eropah terutama EPL.