Pamer kain rentang terbalik, ultras Kelantan FC dah hilang sabar dengan pihak pengurusan?

442

Nama Kelantan FC agak panas sejak kebelakangan ini gara-gara isu melibatkan ejen daripada Korea Selatan, Leo Jeong serta pengurusan kelab itu.

Selepas Kelantan membuat keputusan memecat ketua jurulatih, Choi Moon-sik, Jeong dan pihak pengurusan Kelantan saling berbalas dakwaan mengenai layanan ke atas jurulatih itu dan para pemain.


Leo Jeong cuba mendapatkan keadilan buat kliennya, manakala Kelantan pula cuba membersihkan nama kelab itu daripada dakwaan yang dilakukan.

Para penyokong pula dilihat seakan-akan sudah ‘malas’ melayan isu-isu di luar padang itu, tambahan pula pasukan masih terumbang-ambing dalam saingan Liga Super dengan hanya satu menang dan satu seri daripada lapan perlawanan.

Ultras Kelantan, Gate H Boys yang hadir pada perlawanan Liga Super menentang Selangor FC semalam dilihat mempamerkan kain rentang terbalik di Stadium MBPJ.

Tindakan itu dilihat seolah-olah satu protes buat pihak pengurusan supaya menyelesaikan masalah yang berlaku di luar padang dengan segera supaya tidak memberi kesan terhadap prestasi pasukan.

Di media sosial juga, kumpulan itu menggesa pihak pengurusan supaya mengubati segala masalah yang berlaku dan tidak melakukan kerja dalam diam.

Adakah ini menunjukkan mereka berada di pihak Moon-sik atau sudah bosan dengan masalah yang sering berlaku dengan pasukan itu?

Mungkin mereka sudah hilang sabar dengan segala kemelut yang berlaku di kelab itu dan prestasi buruk yang ditunjukkan oleh pasukan.

Sekiranya penyokong mula berpaling tadah, ia adalah sesuatu yang pastinya merugikan pasukan, termasuklah pihak pengurusan.

Penyokong adalah tulang belakang kepada pasukan, dan sekiranya mereka mula ‘lari’, lebih-lebih lagi di saat pemain sangat memerlukan mereka, lebih sukar buat Kelantan untuk bangkit.