Saya keluarkan Haqimi Azim untuk buang masa saja – Bojan Hodak

595

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui beliau mengeluarkan Haqimi Azim pada penghujung perlawanan menentang Perak FC untuk membazirkan masa.

Beliau berkata, ketika itu perlawanan hanya berbaki tiga minit jadi beliau mahu memastikan pasukannya yang sedang mendahului 1-0 menamatkan perlawanan dengan tiga mata.


“Saya keluarkan Haqimi disebabkan taktikal, untuk bazirkan masa saja kerana perlawanan hanya berbaki tiga minit.

Saya tidak gembira dengan persembahan kami pada malam ini tetapi saya memang sudah jangkakan tidak mudah menentang pasukan Perak yang dibarisi ramai pemain muda,”

katanya.

Sementara itu beliau memberi bayangan akan menurunkan pemain yang kurang mendapat peluang pada perlawanan Piala FA menentang Imigresen selepas ini.

Katanya, perlawanan seperti itu sesuai untuk pemain yang jarang dapatkan minit permainan kerana mereka akan memandang serius pasukan lawan.

“Perlawanan seperti ini adalah teruk kerana pemain akan anggap ia mudah, kerana itulah Piala FA terkenal dengan kejutan.

Jadi mungkin bagus jika saya letakkan pemain yang jarang bermain kerana mereka akan ambil serius perlawanan seperti ini.”

Jelasnya, musim ini beliau mempunyai squad depth yang lebih baik berbanding musim lalu dan boleh menggantikan pemain utama dengan pemain simpanan pada bila-bila masa.

Tambahnya, ia boleh menjadi peluang yang baik buat pemain yang jarang diturunkan untuk membuktikan kemampuan mereka.