Safawi Rasid bakal pulang ke Liga Super pada jendela perpindahan kedua Jun ini?

2,797

Selepas beberapa musim yang tidak konsisten, pemain kebangsaan Safawi Rasid umpama ‘dilahirkan’ semula apabila beliau menyertai kelab Ratchaburi FC yang beraksi di liga utama Thai League 1.

Sejak menyertai kelab tersebut secara pinjaman dari kelabnya Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi berjaya mendapatkan semula sentuhan ‘magisnya’ dan mula mempamerkan aksi yang cukup baik sepanjang bersama kelab itu.


Malah, beliau juga sudah menjaringkan gol pertamanya di liga utama di Thailand itu selain berjaya mendapatkan beberapa bantuan gol, sekaligus memberi petanda seakan-akan beliau akan terus kekal lama di sana.

Bagaimanapun, satu sumber terdekat kepada Harimau Malaya mendedahkan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu dikatakan akan pulang ke tanah air pada jendela perpindahan kedua bulan Jun ini.

Mengikut perancangan awal, Safawi dipinjamkan ke Ratchaburi untuk tempoh semusim dan dijangka akan pulang ke tanah air pada hujung musim ini kerana kontraknya bersama JDT tamat pada November 2023.

Difahamkan Safawi berkemungkinan besar akan berhijrah ke Kuantan, Pahang bagi memperkuatkan Sri Pahang FC.

Untuk musim ini Sri Pahang yang dikendalikan oleh Fandi Ahmad telah memperlihatkan mereka telah mendapatkan beberapa pemain JDT sebagai pinjaman dan tidak mustahil untuk mereka mendapatkan khidmat Safawi sebagai pemain tetap mereka untuk pusingan kedua Liga Super musim ini.

Tambahan pula, hubungan akrab di antara pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris dan Tunku Mahkota Pahang (TMP), Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga akan memudahkan segala urusan penghijrahan Safawi ke kelab di Pantai Timur itu.

Bagaimanapun setakat ini, ia masih sekadar khabar angin kerana tiada pengesahan dapat diperolehi lagi buat masa ini.

Oleh itu, sama-sama kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada jendela perpindahan kedua Liga Super pada Jun ini.