Luqman Hakim tak ambil kisah peminat bandingkan dirinya dengan Arif Aiman

3,161

Pemain kebangsaan Luqman Hakim Shamsudin memberitahu beliau tidak ambil kisah dengan tindakan segelintir peminat yang membandingkan dirinya dengan pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman.

“Bagi saya Arif Aiman adalah seorang pemain yang cukup bagus di Malaysia ketika ini. Untuk peminat di Malaysia yang mahu bandingkan saya dengan pemain itu saya tak ambil kisah sangat kerana itu adalah hak mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Luqman, beliau berhijrah ke Eropah kerana itu pilihannya sendiri selain mahu mencapai sasaran peribadi.


Beliau memulakan karier bola sepaknya di Eropah apabila menandatangani kontrak bersama kelab di Belgium iaitu K.V. Kortrijk.

Kegagalan untuk mendapat minit permainan dek persaingan cukup sengit di antara pemain-pemain skuad utama kelab itu membuatkan pemain berusia 21 tahun itu mengambil keputusan untuk berhijrah ke Iceland secara pinjaman di mana beliau kini beraksi untuk kelab Njardvik.

Percaturan Luqman berjaya membuahkan hasil apabila beliau sudah pun membuat debutnya bersama pasukan itu dalam aksi Piala Iceland yang mana beliau telah beraksi selama 60 minit termasuk berjaya melakukan satu bantuan gol.

Dalam pada itu, pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini berkata harapan utama beliau menjadi seorang pemain bola sepak profesional bukan sahaja kerana mahu membantu ibu bapanya, tetapi juga membawa nama negara Malaysia ke persada antarabangsa.

“Saya bermain bola sepak sebab nak bantu kedua ibu bapa saya. Yang kedua saya nak berjaya dalam bola sepak dan saya nak banggakan Malaysia, oleh sebab itu saya datang sini saya nak bawa nama negara yang pemain Malaysia ni bagus-bagus.”