Buat kerja dalam diam, Sanusi kembali dengan ‘Wisma KFA-House of Kedah Football’

1,136

Setelah memenangi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) baru-baru ini, Muhammad Sanusi Md Nor dengan pantasnya memulakan kerjanya dalam usaha mengangkat bola sepak di negeri itu.

Dalam satu ucapan, Sanusi memberitahu bahawa KFA bakal mempunyai bangunan pentadbiran sendiri yang dikenali sebagai Wisma KFA-House of Kedah Football.


Menurut Sanusi, ia adalah lambang kekuatan serta identiti KFA ke arah penjenamaan dan tadbir urus yang lebih profesional serta komersial yang akan dilancarkan kelak.

Pada musim ini, Sanusi dilihat agak ‘berdiam diri’ dalam arena bola sepak tempatan, tidak seperti musim lalu di mana beliau acap kali memberikan komen tertentu yang memeriahkan lagi saingan Liga Malaysia.

Ternyata diamnya bukan bermakna beliau tidak melakukan apa-apa, tetapi mungkin lebih selesa melakukan kerja tanpa sebarang perhatian.

Kewujudan Wisma KFA-House of Kedah Football itu bukan sahaja satu perkara positif buat persatuan itu, tetapi juga pastinya boleh memberi manfaat tertentu kepada pasukan Kedah Darul Aman FC.

Ini boleh manjadi satu pembangkit semangat buat pasukan itu, lebih-lebih lagi setelah dibelasah oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) 6-0 pada saingan Liga Super baru-baru ini.

Selepas kekalahan itu, pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar ada berkata bahawa ia suakr diterima dan menggesa pemain serta jurulatih bangkit.

Beliau meminta semua pihak untuk lebih serius, bersungguh-sungguh dan lebih berani selepas ini.

Dengan harapan yang diberikan oleh pemilik kelab itu, serta ‘kembalinya’ Sanusi melakukan pembaharuan dalam KFA, ia diharapkan dapat mengembalikan Kedah ke landasan yang betul untuk bangkit dan merealisasikan sasaran musim ini.