Siapa agaknya pemain Malaysia yang akan ikut jejak langkah ‘dermawan’ Sadio Mane?

395

Siapa tidak kenal dengan bintang bola Sadio Mane? Beliau merupakan salah seorang pemain bola sepak terbaik Afrika dan dunia ketika ini.

Mane bukan sahaja menjadi perhatian apabila beliau beraksi di padang, malah di luar padang juga beliau menjadi tumpuan media di seluruh dunia kerana sikap rendah diri dan dermawan.


Tidak seperti kebanyakan pemain bola sepak terkemuka dunia yang kerap menayangkan kemewahan masing-masing di media sosial, Mane pula lebih selesa hidup secara sederhana tetapi akan menggunakan jutaan wang gajinya untuk membantu masyarakat di negaranya di Senegal.

Sebagai contoh, bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia, Mane telah berkongsi rezeki dengan mengedarkan beras kepada seluruh orang kampungnya.

Antara sumbangan yang pernah diberikan oleh bintang Bayern Munich itu termasuk membina sebuah hospital di perkampungan Bambali berjumlah sekitar RM2.4 juta, memberi dana untuk bina sekolah baru, beri computer riba kepada pelajar termasuk memberi sumbangan kepada kerajaan negaranya ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

Banyak lagi perkara yang dilakukan oleh Mane dalam usahanya untuk give-back kepada komunitinya yang memerlukan bantuan.

Jadi tidak hairan mengapa beliau meminta gajinya dinaikkan kerana ia bukannya kerana beliau tamak, sebaliknya beliau mahu memberi lebih banyak bantuan dan sumbangan pada tanah airnya.

Mungkin kisah Mane ini boleh dijadikan sebagai contoh dan teladan oleh pemain-pemain bola sepak di Malaysia terutamanya yang beragama Islam untuk mengikut jejak langkah Mane untuk membantu komuniti masing-masing.

Tidak dapat dinafikan gaji pemain bola sepak di Liga Super Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau Asia.

Mungkin sudah ramai pemain bola sepak tempatan yang sering membuat sumbangan dan sebagainya, namun lebih selesa berbuat secara diam tanpa perlu menghebohkan di media sosial.

Bagaimanapun ada pihak yang telah tampil mendedahkan sikap murni segelintir pemain antaranya pemain muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Ramadhan Saifullah yang dikatakan pernah memberi sepasang kasut bola sepak bernilai lebih RM1,000 kepada pelajar anak yatim yang nak beraksi di SUKMA.

Satu lagi contoh adalah pemain naturalisasi negara iaitu Liridon Krasniqi yang mana beliau merupakan seorang pemain yang sangat terkenal dengan sikap pemurahnya ketika beliau menyarung jersi Kedah Darul Aman FC.

Beliau yang cukup terkenal dalam kalangan peminat-peminat muda pernah melihat sekumpulan remaja bermain bola sepak di padang dan mengambil keputusan untuk memberi sumbangan berupa peralatan bola sepak dan minuman, selain turut sempat beramah mesra.

Walaupun Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don sudah tidak lagi bersama Sang Kenari, namun nama beliau sentiasa ada dalam sudut kecil hati peminat KDA.

Kita harapkan di bulan Ramadhan ini lebih ramai pemain yang berkemampuan dapat turut berkongsi rezeki dengan mereka yang tidak bernasib baik.