Bakal ‘direhatkan’ jika kalah lima perlawanan, tugas getir menanti Frank Bernhardt elak kekalahan

577

Kelantan FC ketika ini sedang dibelenggu isu dalaman kelab selepas ia memecat ketua jurulatih, Choi Moon-sik sebelum perlawanan Liga Super menentang Terangganu FC.

Susulan itu, pemiliknya, Norizam Tukiman atau Zamsaham tampil dalam satu wawancara dan menjawab pelbagai persoalan orang ramai, termasuklah kedudukan ketua jurulatih yang baru dilantik, Frank Bernhardt.


Menurut Zamsaham, beliau melakukan perubahan dalam itu kerana prestasi semasa kelab yang tidak memuaskan serta atas sebab sayangkan kelab itu.

Bernhardt dilantik kerana prestasi yang ditunjukkan ketika melatih UiTM FC, namun beliau mempunyai cabaran yang amat sukar mengendalikan Kelantan kerana pihak pengurusan sudah meletakkan KPI untuknya.

Zamsaham berkata bahawa jurulatih itu juga akan direhatkan jika tewas dalam lima perlawanan dan perkara itu dipersetujui oleh Bernhardt.

Sekiranya jumlah lima perlawanan itu dikira daripada perlawanan pertamanya menentang Selangor tempoh hari yang menyaksikan Kelantan kalah 3-0, nampaknya beliau hanya boleh tewas empat kali saja lagi atau akan berdepan nasib sama seperti Moon-sik.

Jika dilihat jadual perlawanan liga yang bakal dilalui Kelantan selepas ini, sebenarnya ia satu tugas yang getir buat Bernhardt.

Selepas perlawanan Piala FA menentang Manjung City FC pada Jumaat ini, empat perlawanan liga seterusnya untuk Kelantan adalah Sabah, Perak, Kedah Darul Aman dan PDRM.

Jika dilihat daripada prestasi Kelantan ketika ini, bukanlah mudah untuk mereka menentang kesemua pasukan tersebut.

Sekiranya ditakdirkan Kelantan tewas pada perlawanan-perlawanan tersebut, adakah Zamsaham akan berpegang kepada KPI tersebut dan menyingkirkan Bernhardt?

Jika ia berlaku, Kelantan mungkin akan menjadi pasukan yang paling cepat menukar jurulatih sebanyak dua kali pada musim ini dan mungkin dibimbing oleh jurulatih baharu pada perlawanan Kelantan Derby selepas itu.

Mungkin ada yang merasakan bahawa KPI lima kekalahan itu adalah terlalu berat dan ‘kejam’, namun Zamsaham pastinya membuat demikian kerana sayangkan Kelantan itu dan demi kebaikan kelab itu.