Sri Pahang FC adalah sebuah kelab yang hebat – Stefano Brundo

427

Pemain import dari Argentina, Stefano Brundo mengakui sangat teruja dapat menyarung jersi Sri Pahang FC kerana ia sebuah kelab yang hebat dan gembira dengan keputusannya untuk melebarkan karier bola sepaknya di Malaysia.

“Saya sangat gembira mengenali negara baru, benua baru. Ia semua perkara baru bagi saya tetapi saya sangat gembira masa saya di sini dengan orang-orang di sini sangat baik, Kuantan sebuah bandar yang menarik dan Sri Pahang adalah sebuah kelab yang hebat.

Saya sangat gembira di sini dan anda boleh melihatnya di wajah saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Brundo berkata demikian kerana ini adalah kali pertama beliau berhijrah dari luar Amerika Latin untuk melebarkan karier bola sepaknya.


Sebelum ini beliau bermain di beberapa liga Amerika Latin seperti Argentina dan Peru.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan kekalahan pertama Sri Pahang pada musim ini di tangan Selangor FC 4-0 dalam perlawanan pusingan 16 Piala FA malam tadi, Brundo mengakui terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan.

“Ini adalah kekalahan pertama kami musim ini. Pada pendapat saya kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama tadi kerana kami tahu kami datang ke sini berdepan dengan pasukan yang cukup bagus.

Jadi strategi kami adalah untuk bermain secara bertahan, tetapi mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol pada penghujung babak pertama telah menyebabkan perlawanan menjadi sukar buat kami sekaligus terpaksa akur dengan kekalahan pada malam ini.”

Biarpun tewas, beliau enggan terlalu kecewa kerana ia adalah lumrah dalam dunia bola sepak dan mereka kini perlu fokus pada perlawanan seterusnya iaitu perlawanan Liga Super menentang Kuching City FC di mana mereka sasar untuk bawa pulang tiga mata penuh sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga.

Sri Pahang kini berada di kedudukan ketiga Liga Super selepas lapan perlawanan hasil empat kemenangan dan empat seri, menjadikan mereka salah sebuah pasukan yang masih belum kalah selain juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau yang kini berkongsi kedudukan kedua penjaring terbanyak di Liga Super dengan lima jaringan berjanji akan terus cuba untuk menjaringkan gol sebanyak yang mungkin bagi membantu pasukan Tok Gajah memperoleh keputusan positif.

Sementera itu, Brundo juga mendedahkan bahawa beliau mengenali pasukan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut JDT kerana kelab itu pernah dibarisi oleh lagenda Argentina iaitu Pablo Aimar.

“Ya saya sangat fanatik dengan bola sepak di seluruh dunia. Saya tahu JDT kerana mereka sebelum ini pernah dibarisi oleh ramai pemain hebat seperti Pablo Aimar yang merupakan lagenda di Argentina.

Mereka juga pernah ada Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan sekarang Fernando Forestieri yang mana beliau itu juga popular di negara saya. Mereka mempunyai pasukan yang cukup hebat tapi fokus saya ketika ini adalah untuk Sri Pahang.”