Dollah Salleh: Tak perlu rombak FAM

402

Bekas pengendali skuad kebangsaan Malaysia, Dollah Salleh menegaskan rombakan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan mengubah landskap bola sepak negara kepada lebih baik.

Menurut Dollah, fokus utama untuk meningkatkan prestasi pasukan Harimau Malaya adalah dengan membuat persiapan rapi dan bukannya menyalahkan pihak pengurusan FAM.


“Kita senang terpengaruh dengan komen-komen netizen yang mahu rombakan dibuat dalam FAM, tukar sini tukar sana. Pada pandangan saya, jika kita tukar tapi persiapan buat ala kadar ia tidak akan kemana juga.

Apa yang penting dan perlu difokuskan adalah membuat persiapan dengan rapi sebelum sertai mana-mana kejohanan, barulah boleh dapat keputusan yang baik,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, persiapan amat penting untuk mana-mana pasukan dan sekiranya tiada persiapan rapi pasti akan menjadi masalah dan skuad kendalian Tan Cheng Hoe adalah salah satu contoh apabila Malaysia tersingkir awal dari saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini.

“Kita tengok pasukan lain, walaupun tidak mempunyai masa yang banyak tetapi mereka tetap membuat persiapan rapi. Malaysia pula membuat persiapan dalam tempoh yang sangat singkat oleh itu keputusannya mengecewakan.”

Dalam pada itu, Dollah yang ditanya mengenai pengganti baru Cheng Hoe berkata FAM boleh melantik mana-mana jurulatih yang dirasakan sesuai tetapi jika tiada persiapan rapi dibuat, maka keputusannya akan tetap sama.

Sumber foto: FAM Facebook

Sementara itu, pada musim lalu Dollah telah dilantik sebagai pengurus pasukan Sri Pahang FC sebelum menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih daripada Thomas Dooley yang sempat mengendalikan dua perlawanan sahaja.

Bagaimanapun untuk musim 2022, Dollah kembali dilantik semula sebagai pengurus pasukan Sri Pahang berharap agar situasi seperti musim lalu tidak berulang.

“Ketika saya ambil alih tugas sebagai ketua jurulatih musim lepas, pasukan berada dalam situasi yang agak teruk dan saya terpaksa berdepan cabaran besar dalam keadaan terumbang-ambing, tetapi Alhamdulillah kita berjaya kekal dalam Liga Super.

“Oleh itu saya harap musim ini tiada lagi perkara seperti ini berlaku lagi supaya saya dapat kekal sebagai pengurus.”