Damien Lim yakin Sabah FC mampu julang trofi musim ini

474

Penjaga gol muda, Damien Lim menyuarakan keyakinan terhadap pasukan barunya Sabah FC mampu sekurang-kurangnya menjulang sebuah trofi untuk Liga Malaysia musim ini.

Damien berkata demikian apabila melihat skuad baru kendalian bekas jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee mempunyai potensi untuk menjadi pencabar utama dalam liga musim ini.


“Saya lihat pasukan Sabah pada musim ini mantap di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee. Dengan barisan pemain-pemain berpengalaman dan bintang, saya yakin Sabah mampu julang sebuah trofi musim ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: Sabah FC

Sejak melakukan rombakan besar-besaran, pasukan Sabah kini dilihat mampu menjadi pencabar utama Top 3 Liga Super apabila Kim Swee rancak memborong pemain-pemain yang pernah bermain di bawah kendalian ketika bersama skuad kebangsaan.

Jadi tidak hairanlah ramai yang menggelarkan pasukan Sabah yang baru ini seperti sebuah skuad ‘reunion’.

Damien juga antara salah seorang pemain yang pernah bermain dalam skuad B-22 negara sebelum ini.

Dalam pada itu, Damien berkata fokusnya kini adalah untuk merebut tempat sebagai penjaga gol utama untuk Sabah kerana beliau akan dicabar hebat oleh penjaga gol kebangsaan iaitu Khairul Fahmi (Apek) yang baru sahaja sertai Sabah.

Tidak melihat kehadiran Apek sebagai penghalang untuknya mendapat tempat, sebaliknya menjadi motivasi buat dirinya untuk bekerja keras lagi.

“Apek seorang penjaga gol yang cukup berpengalaman dan beliau baru sahaja pulang dari Piala AFF, bagaimanapun ia memberi semangat kepada saya untuk tunjukkan kebolehan saya kepada jurulatih untuk saya cuba merebut peluang berada dalam kesebelasan utama.”

Sumber foto: Sabah FC

Damien yang sebelum ini merupakan penjaga gol utama untuk pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) telah berjaya membawa pasukannya menjadi juara Liga Perdana musim lalu.

Fokusnya kini adalah untuk memberikan persembahan terbaik kerana beliau memasang impian untuk menyarung jersi kebangsaan skuad senior satu hari nanti.

Sementara itu, Damien yang bercita-cita mahu bermain di luar negara mendedahkan beliau pernah hampir ke sebuah pasukan di Liga Thai 2 tetapi tidak jadi kerana masalah yuran perpindahan.

Bagaimanapun Damien berharap satu hari nanti beliau akan mendapat peluang lagi untuk beraksi di liga luar negara.