JDT sebenarnya ramai penjaga gol berbakat, tetapi lebih bersinar bersama pasukan lain

1,643

Pada perlawanan Liga Super antara PDRM FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam, ketangkasan penjaga gol The Cops, Nor Hakeem Hamidun yang menjaga gawang tuan rumah mendapat tumpuan ramai pihak.

Walaupun diasak berkali-kali, beliau hanya membenarkan gawangnya dbolosi sebanyak satu gol sahaja, menyaksikan PDRM menjadi pasukan yang paling sedikit dibolosi oleh JDT pada musim ini.


Apa yang lebih mengagumkan ialah, perlawanan tersebut merupakan debut buat dirinya dalam saingan Liga Super.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa penjaga gol berusia 21 tahun itu sebenarnya merupakan bekas pemain JDT III sebelum ini.

Selain daripada Nor Hakeem, sebenarnya terdapat beberapa orang lagi penjaga gol berbakat yang pernah bersama JDT sebelum ini.

Antaranya ialah Mohd Izham Tarmizi yang dipinjamkan ke Sri Pahang musim ini dan juga T. Shaheeswaran yang kini bersama Perak FC.

Sebelum ini, kedua-dua penjaga gol itu kurang mendapat peluang ketika di JDT kerana persaingan sengit dalam pasukan, menyebabkan bakat mereka sedikit tenggelam.

Namun kini mereka semakin membuktikan kemampuan yang dimiliki setelah diberi peluang untuk beraksi bersama pasukan baru.

Izham musim ini beraksi dengan amat baik bersama Sri Pahang, menyaksikan pasukannya mencatat rekod kedua terbaik dari segi bolos setakat ini, di belakang JDT.

Beliau turun dalam enam perlawanan Liga Super musim ini dan hanya bolos tiga gol sahaja, serta mencatatkan tiga clean sheet.

T. Shaheeswaran pula kini sudah mula mendapatkan kepercayaan daripada ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim dan menampilkan aksi yang baik ketika diturunkan.

Dalam skuad JDT ketika ini, terdapat seorang lagi penjaga gol berbakat iaitu Haziq Nadzli yang menjadi pilihan ketiga di belakang Syihan Hazmi dan Farizal Marlias.

Beliau satu ketika dahulu pernah tunjang buat skuad muda negara dan pernah beraksi dari peringkat B-16, B-19 dan B-23 negara.

Mungkin jika di kelab lain, beliau mempunyai peluang yang lebih cerah untuk kerap diturunkan, sekaligus mampu membuktikan kemampuannya.

Tidak dinafikan bahawa JDT sentiasa memiliki penjaga gol yang hebat, bukan sahaja penjaga gol utama tetapi juga penjaga gol simpanan dan pasukan bawah umur.

Cuma persaingan yang sengit di kelab itu membuatkan mereka tidak dapat menunjukkan bakat mereka dengan kerap, sepeti yang berlaku kepada Nor Hakeem, Izham Tarmizi, T. Shaheeswaran dan Haziq Nadzli.