Sejarah lalu dengan FAM buat Bojan Hodak ‘u-turn’?

281

Sebaik sahaja pasukan kebangsaan Malaysia tersingkir awal dari saingan Piala AFF 2020, nama ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mula disebut-sebut sebagai pengganti Tan Cheng Hoe.

Nama Bojan terus menjadi sebutan ramai terutamanya selepas Cheng Hoe meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya awal minggu ini.


Bojan menjadi pilihan ramai selepas beliau berjaya membawa pasukan KL City menamatkan kemarau piala apabila menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.

Pihak pengurusan KL City juga dilaporkan bersedia untuk melepaskan jurulatih dari Croatia itu disamping Bojan juga dikatakan menunjukkan minat untuk kembali ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan bersyarat.

Bagaimanapun Bojan secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa beliau masih belum bersedia untuk mengendali skuad negara kerana lebih selesa untuk kekal bersama skuad Warga Kota.

Sumber foto: FAM Facebook

KL City yang berjaya muncul juara Piala Malaysia bakal beraksi di saingan Piala AFC musim ini bersama sebuah lagi pasukan iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Kenapa Bojan yang sebelum ini meletakkan beberapa syarat kepada FAM sekiranya mahu khidmatnya secara tiba-tiba membuat pusingan U? Adakah ia disebabkan oleh faktor sejarah antara Bojan dan FAM sebelum ini.

Bagi peminat yang tidak tahu, Bojan sebelum ini pernah mengendalikan skuad negara B-19 selama dua tahun sebelum ditamatkan kontrak oleh FAM.

Di bawah kendalian Bojan, beliau telah berjaya membawa pasukan B-19 negara memenangi Piala AFF B-19 buat pertama kali dalam sejarah pada tahun 2018.

Ada dakwaan mengatakan penamatan Bojan sebagai jurulatih skuad B-19 negara kerana tindakannya mengkritik sistem pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia yang disifatkan sebagai lemah.

Susulan itu, FAM telah mengarahkan Bojan memberi surat tunjuk sebab.

Ini bukanlah kali pertama FAM didakwa menamatkan kontrak jurulatih kerana mengkritik. Sebelum ini tiga bekas jurulatih negara iaitu B. Sathianathan, Datuk K. Rajagobal dan Dollah Salleh pernah digantung jawatan selepas mengkritik bola sepak negara.

Mungkin sejarah dengan FAM sebelum ini membuatkan Bojan berasa serik untuk bekerjasama lagi? Atau beliau yakin FAM tidak mampu menunaikan syarat-syaratnya.