Danish Aiman pasang impian mahu ke SSBJ, Dania Elisha tak gentar bertemu pihak lawan lebih besar darinya

297

Pemain ping pong muda negara, Muhammad Danish Aiman Rosli memberitahu beliau kini dalam persiapan untuk cuba melayakkan diri ke kejohanan South East Asian Junior untuk kategori B-19.

Selain itu, Danish juga memasang impian untuk terus mewakili Malaysia supaya beliau dapat diterima masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).


“Tahun lepas mewakili Malaysia untuk kategori B-15 di kejohanan South East Asian Junior di Thailand. Jadi sasaran saya untuk tahun ini saya mahu cuba sekali lagi layak ke kejohanan sama untuk kategori B-19 pula.

Saya mahu terus konsisten mewakili Malaysia supaya saya dapat masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain ping pong iaitu Dania Elisha Mohd Airul Hafis pula kini sedang giat menjalani latihan bagi membuat persiapan bagi menghadapi sesi pemilihan ke Cadet Table Tennis Championships yang akan berlangsung di Brunei.

Walaupun bertubuh kecil, namun Dania tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah buat dirinya sebaliknya beliau tidak gentar untuk bertemu dengan mana-mana pemain lawan yang mempunyai saiz fizikal lebih besar.

“Saya sudah biasa menentang pemain-pemain lawan yang lebih besar dari saya, jadi tidak pernah timbul perasaan takut atau gementar apabila bertemu dengan lawan seperti itu.

Apa yang penting adalah masuk ke gelanggang dengan keyakinan yang tinggi.”

Dengan menjalani latihan yang intensif sejak kebelakangan ini, Dania tidak melihat beliau akan berdepan masalah untuk melayakkan diri ke kejohanan tersebut di mana beliau akan bersaing dalam kategori B-15.