Nama Kiatisuk pula dipetik, fans mahu standard yang lebih tinggi

2,256

Selagi FAM belum mengumumkan secara rasmi siapa yang bakal mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan, selagi itulah pengamal media dan penyokong bola sepak tanah air akan terus berspekulasi mengenainya.

Semalam, timbul satu dakwaan mengatakan nama Kiatisuk Senamuang menjadi calon terbaru dalam senarai yang disebut-sebut diintai FAM ketika ini.


Menyambut cadangan pengarah teknikal baru FAM, Scott O’Donell untuk membawa jurulatih asing adalah suatu idea yang baik namun setakat itu sahajakah yang mampu difikirkan FAM? Mengapa FAM mensasarkan calon jurulatih Asean yang boleh dikatakan setaraf dengan pencapaian jurulatih tempatan seperti Datuk K.Rajagobal yang ketika ini membimbing pasukan kebangsaan Brunei Darussalam?

Adakah ‘jurulatih import’ yang dimaksudkan boleh jadi sesiapa sahaja, asalkan bukan jurulatih yang berasal dari Malaysia? Jika benar dakwaan ini, nyata pemikiran FAM masih di takuk yang sama. Seharusnya FAM harus memandang jauh ke depan dan mencari calon yang lebih berkelayakan serta mempunyai prestasi yang lebih baik sebagai jurulatih.

Atau adakah FAM hanya mengambil ‘jalan mudah’ dan tidak mahu membuat ‘extra homework’ untuk mencari calon yang benar-benar berkaliber? Semua itu terus menjadi tanda tanya. Rekod terkini Kiatisuk dikatakan masih terikat kontrak sehingga penghujung musim ini bersama kelab Hoang Anh Gia Lai (HAGL) yang bersaing di V.League.

Mungkin memang tidak mudah untuk memuaskan hati semua fans, tapi setidak-tidaknya tunjukkan bahawa FAM berfikiran jauh tentang masa depan bolasepak negara. Bolasepak kita harusnya bergerak ke depan dengan meletakkan ‘standard’ yang lebih tinggi dalam pemilihan ketua jurulatih itu. Misalnya seperti Indonesia yang kini diterajui pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-Yong dan terbukti prestasi pasukan Garuda semakin meningkat.

Sudah tiba masa untuk FAM untuk menggunakan paling kurang pun khidmat jurulatih dari Asia seperti Jepun dan Korea Selatan kerana mereka telah jauh mendahului kita dalam bolasepak. Berikut adalah ciapan dari seorang penyokong bolasepak yang seolah-olah menyerahkan keputusan bulat-bulat kepada FAM, namun beliau turut meletakkan standard tertentu tentang pemilihan calon jurulatih itu.