Harimau Malaya dalam ‘holiday mood’

210

Ketika pasukan-pasukan lain rancak mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa pada jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hujung bulan ini, pasukan negara pula berada dalam ‘holiday mood’.

Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Pengarah Teknikal baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell yang menjelaskan bahawa tiada perlawanan diatur untuk skuad negara buat masa ini.


Peminat tidak terkejut dengan kenyataan ini kerana menyedari bahawa pasukan bola sepak negara kini tiada ketua jurulatih selepas Tan Cheng Hoe mengambil keputusan meletak jawatan selepas kegagalan skuad Harimau Malaya di saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini.

Alasan yang diberikan FAM tiada jurulatih menjadi faktor utama mengapa tiada perlawanan diatur adalah alasan yang tidak munasabah kerana untuk aksi persahabatan pihak FAM perlu membuat perancangan beberapa bulan lebih awal.

Justeru tidak hairan apabila rata-rata peminat meluahkan rasa kecewa mereka dengan sikap pengurusan FAM yang dilihat masih lena dan tidak melakukan kerja biarpun prestasi skuad negara ketika ini berada pada tahap yang teruk.

Sumber foto: FAM Facebook

Tidak dapat dinafikan penjelasan FAM tidak mengatur sebarang aksi persahabatan kerana tidak mahu menganggu persiapan pramusim pasukan Liga Malaysia boleh diterima, tetapi sekiranya FAM dapat merancang dengan baik ia pasti tidak akan menimbulkan masalah.

Sehingga kini jadual saingan Liga Malaysia untuk musim 2022 masih lagi belum dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL) sedangkan liga akan mula berjalan pada Februari nanti.

Semalam FAM baru sahaja mengumumkan perlantikan Pengarah Teknikal yang baru iaitu O’Donell bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang meletak jawatan tahun lalu selepas mendapat tawaran untuk menjadi ketua jurulatih pasukan Sabah FC.

Perlantikan O’Donell juga menjadi buah mulut peminat sebelum ini kerana terdapat laporan yang mengatakan jurulatih dari Australia itu bakal dilantik sebagai pengarah teknikal tetapi FAM enggan memberi sebarang komen.

Apa yang membuatkan ramai tertanya-tanya adalah mengapa FAM perlu berahsia jika ada berita baik seperti ini kerana O’Donell bukan asing buat peminat bola sepak tempatan.

Untuk rekod, O’Donell merupakan bekas pemain import pasukan Kuala Lumpur dari tahun 1994 hingga 1995 sebelum menjadi jurulatih Geylang United (Singapura) dan jurulatih skuad kebangsaan Kemboja.

Beliau juga mempunyai pengalaman sebagai Pengajar Kejurulatihan Akademi Bola Sepak India (AIFF). Jadi FAM tidak sepatutnya cuba merahsiakan berita gembira seperti ini.

Sumber foto: FAM Facebook

Diharap dengan pelantikan pengarah teknikal baru yang sudah sinonim dengan budaya bola sepak Malaysia mampu memberi sinar harapan baru buat skuad kebangsaan selepas mengharungi tahun yang suram.

FAM kini masih menjadi perhatian peminat yang menantikan pengumuman ketua jurulatih baru yang akan diumumkan awal Februari ini.