Sasaran 40 pingat emas Sukan SEA 2023 sudah terngiang-ngiang dalam kepala atlet – Mohd Nasir Ali

154

Chef de Mission (CDM) Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali percaya semua atlet yang membawa nama negara ke kejohanan itu sudah bersedia untuk merealisasikan sasaran 40 pingat emas.

Beliau berpuas hati dengan segala persiapan yang dilakukan dan berkata ini adalah masa untuk para atlet menunjukkan semangat yang tinggi untuk mencapai kejayaan.


“Bagi saya dengan semangatlah kita dapat capai sasaran kita, apa yang penting sekarang adalah kekuatan mental serta psikologi untuk menghadapi kejohanan itu.

Sasaran 40 emas tu memang dah terngiang-ngiang dalam kepala semua, jadi saya harap semua akan berikan yang terbaik untuk capai sasaran itu,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di KLIA untuk bertemu pasukan bola sepak lelaki yang berlepas ke Phnom Penh, Kemboja sebentar tadi.

Mohd Nasir mengakui bola sepak merupakan sukan yang paling popular di negara ini, justeru berharap skuad B-22 negara tidak menghampakan pada temasya itu.

“Kita akui jika menang acara bola sepak ibarat menang macam-macam, jadi saya harap pasukan bola sepak cuba sedaya upaya dan tidak hampakan harapan peminat dan negara.

Kita dapati prestasi mereka agak baik, menang Piala Merlion sebelum ini dan ramai bakat-bakat baharu yang muncul jadi harapan kita amat tinggi.”

Dalam pada itu, beliau mendedahkan terdapat atlet negara yang sudah berada di Kemboja menghadapi beberapa masalah, seperti makanan berlalat dan penginapan yang tidak cukup, tetapi pihaknya sudah melaporkan kepada penganjur.

Beliau enggan masalah-masalah seperti itu mengganggu emosi para pemain dan menjejaskan prestasi mereka ketika bertanding.