Penyokong perlu akur saja keputusan FAM atau sebaliknya? Ini komen Azman Adnan

431

Menerusi satu temubual eksklusif, kami mendapatkan pandangan dari bekas penyerang negara iaitu Azman Adnan mengenai pandangan beliau tentang kelantangan penyokong untuk menyuarakan pendapat dan mengkritik FAM. Adakah wajar untuk penyokong berbuat demikian?

Menurut pemain yang dianggap jelmaan Mokhtar Dahari itu, penyokong mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk bersuara tetapi perlulah memberi kritikan yang membina dan bukannya menghentam. Beliau berharap agar penyokong lebih matang dalam menyampaikan kritikan kerana kecaman tidak akan membawa sebarang kebaikan.


“Mentaliti penyokong juga harus berubah mengikut peredaran zaman. Kita berada dalam zaman yang serba moden, gaya pemikiran juga harus berubah. Mengkritik biarlah berdasarkan fakta dan cara yang betul.”

Katanya kepada Harimau Malaya

Dalam pada itu, selaku pemain yang pernah memegang gelaran penyerang ‘ikonik’ negara, kami turut bertanyakan pendapat beliau mengenai ketandusan penyerang yang dihadapi pasukan negara ketika ini. Beliau berpendapat sebenarnya kita mempunyai ramai penyerang berbakat, cuma mereka tidak diberi peluang untuk menyerlah kerana kebanyakan pasukan liga lebih mengutamakan pemain import dalam pemilihan pemain utama. 

Azman juga menuntut agar pemain-pemain tempatan lebih berusaha keras untuk menjaga prestasi secara konsisten kerana kejayaan tidak datang semudah yang disangka. Pemain tempatan harus ada sifat berdaya-saing yang tinggi agar mendapatkan tempat sebagai pemain pilihan untuk diturunkan pada setiap perlawanan.

Beliau turut mengulas serba sedikit mengenai cadangan untuk melantik jurulatih import sebagai pengendali skuad kebangsaan, beliau merasakan bahawa cadangan tersebut memang baik namun, para pemain juga perlu mengubah sikap mereka. Mereka perlu lebih profesional, ada ‘passion’ yang tinggi untuk bermain. Jika pemain masih berada di tahap yang sama, jurulatih sebagus mana pun tidak akan dapat mengubah apa-apa.