Satu negeri Johor akan bermain bunga api raikan kejuaraan Liga Super JDT kali ke-10

969

Walaupun saingan Liga Super belum lagi sampai ke pertengahan musim, dominasi yang ditunjukkan oleh penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu hebat dan tiada satu pasukan pun dilihat mampu menghentikan pasukan itu daripada menjuarai liga untuk kali kesepuluh berturut-turut.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat seakan-akan sudah bersedia untuk menyambut kejuaraan dengan meriah sekiranya JDT berjaya mengekalkan kejuaraan tersebut.


Menjawab pertanyaan seorang penyokong di media sosial Twitter, TMJ berkata bahawa beliau berharap seluruh negeri Johor dapat menyambut kejayaan JDT dengan meriah seperti kota Naples yang menyambut kejayaan Napoli menjadi juara Seria A semalam.

Oktober tahun lalu, JDT mengadakan satu sambutan besar-besaran meraikan sambutan ‘Triple Hattrick’ di Stadium Sultan Ibrahim selepas perlawanan liga terakhir menentang Sabah.

Musim ini, pastinya sambutan lebih besar bakal diadakan memandangkan ia kejuaraan kesepuluh yang menandakan penguasaan selama satu dekad kelab itu di Malaysia, satu pencapaian yang amat istimewa.

Justeru, tidak hairanlah TMJ merancang sambutan yang jauh lebih meriah pada tahun ini, melibatkan seluruh negeri Johor.

Ini adalah satu idea yang baik untuk memberi peluang kepada penyokong di seluruh negeri dapat meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka.

Ketika upacara sambutan musim lalu, ramai yang tidak berpeluang untuk menyambut sama kerana tiket untuk perlawanan berkenaan habis dijual.

Musim ini, Liga Super akan tamat lebih lewat pada bulan Disember, jadi mungkin pada penghujung tahun satu negeri Johor akan bergema dan begemerlapan dengan bunga api.

Walaubagaimanapun, TMJ berkata perkara itu masih jauh lagi untuk dicapai JDT harus meningkatkan lagi nilai komersil serta skuad menjelang Jun.

Perkara itu dilihat sedang di landasan yang tepat dengan kehadiran bintang Colombia, Radamel Falcao yang dijangka akan menyertai kelab itu pada jendela perpindahan kedua nanti.

Selain itu, baginda juga berkata JDT akan memperbaharui kontrak dengan jenama sukan terkemuka dunia, Nike dengan perjanjian yang lebih baik tidak lama lagi.

Pastinya segala percangan yang sedang dilakukan ini akan menjadikan JDT satu pasukan yang lebih mantap dalam setiap aspek, dan makin sukar untuk dikejar sekiranya pasukan lain tidak cuba untuk mengurangkan jurang.