“Jangan berhenti tekan FAM”: Ultras Malaya

441

Mungkin kebanyakan penyokong bolasepak tempatan sudah mula muak mengkritik FAM kerana badan induk bolasepak itu terus mendiamkan diri tanpa menjawab persoalan yang dikemukakan penyokong.

Seorang penyokong setia pasukan kebangsaan, dari Ultras Malaya, menegaskan agar fans tidak berhenti memberi kritikan kepada FAM.


Hal ini kerana FAM akan memandang ringan tentang suara penyokong dan menganggap kekecewaan mereka hanya bersifat sementara. Kesudahannya, tidak akan ada sebarang perubahan berlaku kepada skuad kebangsaan. Apa yang akan mereka lakukan adalah terus memanipulasi penyokong dengan mengalihkan perhatian mereka terhadap perkara remeh.

“Jangan sesekali berhenti mengkritik dan menekan FAM, kalau kita berhenti bermakna kita memenuhi apa yang diinginkan mereka”

-Anonymous kepada Harimau Malaya

Fans harus sedar akan suara penyokong adalah suara keramat. Fans berhak mempersoalkan apa saja yang menyangkut kebaikan skuad kebangsaan. Seberapa lama lagi mereka harus bersabar dan terus-menerus akur dengan kepincangan yang berlaku dalam pengurusan FAM? Sampai bila mereka harus menerima kenyataan bahawa bolasepak Malaysia hanya akan berada di tahap itu sahaja?

Mungkin ada di antara anda yang lupa seberapa gerunnya pihak lawan apabila pasukan mereka terpaksa beraksi di gelanggang keramat kita. Itu cukup membuktikan bahawa suara penyokong tidak boleh diremehkan. Pengaruh penyokong amat besar kesannya terhadap bolasepak kerana itulah mereka digelar pemain ke-12.

Bertahun lamanya, penyokong telah membuktikan kesetiaan mereka dan menjalankan tugas sebagai penyokong apabila kerap membanjiri stadium apabila Malaysia menjadi tuan rumah dan tidak kurang ada yang sampai bergolok-gadai hingga ke luar negara untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan. Tiada salahnya mereka menuntut penambahbaikan dan peningkatan demi mutu bolasepak Malaysia yang lebih gemilang.