Tak perlu kurang kuota import, wujudkan Liga Simpanan

273

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata tiada keperluan untuk kurangkan kuota pemain import dalam saingan Liga Malaysia kerana ada cara lain untuk pastikan pemain tempatan dapat peluang beraksi.

Menurut Ong Kim Swee, ketika beliau masih bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Pengarah Teknikal, beliau pernah mencadangkan agar FAM adakah Liga Simpanan (Reserve League).


“Ketika saya masih bersama FAM saya ada cadangkan untuk adakan Liga Simpanan yang mana ia dapat memberi manfaat kepada pemain-pemain di Liga Super yang ingin minit permainan untuk mengekalkan kecergasan mereka.

Bagaimanapun, untuk Liga Simpanan ini kita perlu tetapkan bahawa sebanyak enam pemain berusia bawah 22 tahun perlu beraksi dalam kesebelasan utama,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: FAM Facebook

Tambah Ong Kim Swee, Liga Simpanan ini bukan sahaja dapat memberi pemain senior yang tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama bersama pasukan utama mendapat minit permainan dan mengekalkan kecergasan, tetapi juga dapat memberi peluang kepada pemain-pemain muda.

Jika ia dilaksanakan, beliau yakin pasukan negara akan berada dalam keadaan sentiasa bersiap sedia kerana sesiapa sahaja yang dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya akan berada dalam prestasi terbaik.

“Tidak dapat dinafikan jika Liga Simpanan ini diwujudkan ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pemain tetapi juga kepada skuad kebangsaan.”

Ong Kim Swee berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai desakan pemain dan peminat yang mahu FAM kurangkan kuota pemain import supaya pemain tempatan mendapat peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Terdahulu topik kurangkan kuota pemain import dalam Liga Malaysia menjadi perdebatan hangat di kalangan peminat sehingga FAM sendiri sudah mengambil maklum mengenai isu berkenaan.

FAM dalam satu kenyataan mereka telah memberitahu bahawa agak lewat untuk mereka membuat sebarang perubahan berhubung kuota pemain import.

Bagaimanapun mereka bersedia untuk melihat dan mengkaji semula isu itu dan sebarang perubahan mengenai jumlah pemian import itu akan dapat diketahui selewat-lewatnya pada dua musim mendatang.