Saya ada pilihan main di Malaysia, tapi buat masa ini mahu kekal di England terlebih dahulu – Kobe Jae Chong

421

Pemain warisan negara, Kobe Jae Chong memberitahu bahawa beliau mahu terus kekal bermain di England walaupun pernah mendapat peluang untuk bermain di Malaysia bersama salah sebuah kelab di Liga Super.

Menurut Kobe, beliau membuat keputusan itu kerana masih mahu mencuba nasibnya di sana sebelum fikir untuk berhijrah.


“Saya pernah dapat peluang untuk bermain di Malaysia pada musim lalu yang mana ia mungkin akan beri pengalaman yang bagus untuk saya, tapi saya memang mahu kembangkan kerjaya saya di England.

Bagaimanapun Malaysia akan sentiasa menjadi pilihan terbaik. Kita lihat dalam tempoh beberapa tahun ini dahulu.

Saya lihat Hong Wan juga berjaya mencipta nama di Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga berkata pada musim ini tiada sebarang tawaran dari kelab-kelab di Malaysia kerana semua sedia maklum dengan hasratnya untuk terus kekal di England.

Dalam pada itu, Kobe yang sebelum ini beraksi bersama Peterborough United di liga profesional EFL League One telah menandatangani kontrak bersama kelab semi-profesional AFC Telford United.

Kobe bagaimanapun tidak bertahan lama apabila mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak dengan kelab tersebut dan kini menjadi pemain ejen bebas.

Beliau juga mendedahkan bahawa ada kelab yang menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmatnya, namun beliau enggan dedahkan identiti kelab itu buat masa ini.

“Ada kelab yang menyatakan minat dan perkara baik bakal datang, tapi saya enggan komen dengan lebih lanjut lagi kerana ia masih diperingkat perbincangan, jadi ia boleh jadi kenyataan atau sebaliknya.

Apa pun berita baik bakal datang dan nantikan berita itu dalam beberapa minggu ini di Twitter.”

Pada musim lalu, peminat teruja apabila Kobe dilihat menjalani latihan bersama pasukan Sri Pahang FC yang mana ia seperti memberi bayangan bahawa pemain itu akan menyertai skuad Tok Gajah.

Kobe yang mengakui berasa cukup selesa menjalani di Darul Makmur turut mendedahkan turut dijemput oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk berlatih di sana.

“Semua orang tahu saya pernah berlatih bersama Sri Pahang dan latihan itu berlangsung dengan cukup baik sekali. JDT juga ada jemput saya ke sana untuk berlatih, tapi saya tak boleh berlatih di dua tempat berbeza dalam satu masa, jadi saya pilih kekal di Sri Pahang.”