AFL lakukan saringan ketat untuk pasukan yang sertai Liga M4

338

Selepas kejayaan saingan Liga M3 dan Liga M5 musim lalu, Amateur Football League (AFL) kini memperkenalkan Liga M4 pada musim ini yang mana ia akan dikenali sebagai Al-Ikhsan Cup.

AFL bagaimanapun memberitahu bahawa pihak mereka tidak sewenang-wenangnya menerima permohonan pasukan untuk menyertai saingan Liga M4 kali ini sebaliknya mereka perlu melalui proses saringan yang cukup ketat bagi memastikan tiada masalah akan timbul apabila saingan liga berjalan.


Menurut Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, setiap pasukan yang bertanding perlu mendapatkan surat kebenaran daripada persatuan bola sepak masing-masing terlebih dahulu.

“Saringan yang kita buat untuk pasukan sertai Liga M4 kali ini agak ketat dan ia boleh dilihat apabila dari enam pasukan dari Liga M3 msuim lalu, hanya satu pasukan sahaja yang lepas saringan yang dilakukan.

Lima pasukan lain itu tidak mempunyai kemampuan untuk bersaing, jadi kita harapkan pasukan yang akan bersaing di Liga M4 ini dapat mengharungi musim tanpa sebarang masalah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL, Mohd Raimi Fakri pula memaklumkan format Liga M4 akan mengikut kumpulan seperti Liga M3 pada musim lalu.

Untuk musim ini, 16 pasukan akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Tengah/Selatan, Pantai Timur dan Borneo.

“Kita guna format kumpulan seperti Liga M3 musim lalu. Sebanyak tiga kumpulan di mana dua pasukan teratas dari setiap kumpulan termasuk dua pasukan ketiga terbaik akan layak ke peringkat suku akhir.”

Raimi pada masa sama turut memberitahu pihak AFL akan mengadakan satu siaran langsung perlawanan Liga M4 setiap minggu membabitkan pasukan pilihan di laman sosial Facebook rasmi atau saluran YouTube.

“AFL juga akan memberi ruang dan peluang kepada mana-mana pasukan yang ingin buat siaran langsung sendiri tetapi mereka perlu ikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.”

Saingan Liga M4 akan membuka tirainya pada 3 Jun dan akan dijadual akan berakhir pada September 2023.