Dato’ Posa Majais bagi cek RM46,000 tapi cek tendang – B. Sathianathan

1,881

Bekas ketua jurulatih dan pengarah teknikal Sarawak United FC, B. Sathianathan mendedahkan bahawa beliau sanggup mengeluarkan wangnya sendiri berjumlah RM46,000 untuk dipinjamkan kepada beberapa pemain berikutan masalah gaji yang dihadapi mereka.

Menurut Sathianathan, beliau kemudian meminta wang yang dipinjamkan namun pemain mendakwa bahawa pihak pengurusan kelab telah pun memotong gaji mereka.


“Beberapa pemain iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Tommy Mawat, Badrul dan penjaga gol minta advance sebab mereka tidak dapat gaji, jadi saya hubungi Dato’ Posa dan beliau kata tak ada duit nak bayar, jadi saya keluarkan duit saya RM46,000 untuk selesaikan masalah dalam pasukan.

Apabila saya minta kepada pemain, mereka kata Dato’ Posa sudah potong gaji. Lepas itu, Dato’ Posa bagi cek bernilai RM46,000 yang mana bila saya masukkan, rupa-rupanya cek tendang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, lebih parah lagi apabila pasukan ingin memulakan saingan bagi musim 2022, pasukan tidak mempunyai apa-apa peralatan untuk latihan.

Sathinathan juga berkata sepanjang kariernya sebagai jurulatih, pasukan Sarawak United adalah pasukan paling teruk yang pernah dikendalikannya.

“Dalam banyak-banyak pasukan yang saya bawa, inilah pasukan paling teruk. Peralatan apa pun tak ada, tapi sebab kita ni minat saya, saya usahakan sendiri termasuk keluarkan duit sendiri beli peralatan, itu pun saya tak dapat balik duit.”

Dalam pada itu, beliau bersama pemain-pemain sanggup berkorban dan bermain bermati-matian walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

Sementara itu, Sathianathan turut mendedahkan bahawa skuad Piala Presiden dan Piala Belia kelab itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak.