Taktikal perlawanan atau sudah terbiasa dengan mentaliti bertahan apabila sedang mendahului?

1,137

Acap kali kita melihat gaya permainan yang sama dimainkan oleh pasukan-pasukan di Liga Super tatkala sudah mendahului pasti mereka akan merubah kepada keadaan bertahan.

Baru-baru ini ketua jurulatih pasukan KL City FC iaitu Bojan Hodak, menyuarakan pendapatnya tentang corak dan gaya permainan pertahanan pasukan-pasukan di Malaysia setelah berjaya mendahului pasukan lawan.


Hal ini dapat dilihat oleh jurulatih asal Croatia itu pada perlawanan KL City menentang Sri Pahang FC baru-baru ini apabila pasukan tuan rumah mendahului mereka mula untuk bertahan dalam kawasan sendiri dan tidak melakukan serangan untuk menjaringkan gol lagi.

Sebagai seseorang jurulatih yang sudah lama dalam kancah bola sepak tempatan, perspektif yang disuarakan oleh Bojan Hodak ini wajar diketengahkan sekaligus untuk dibincangkan kerana ia sesuatu yang perlu dipandang serius demi meningkatkan mutu bola sepak negara ini.

Persoalannya, adakah corak permainan seperti itu adalah taktikal oleh ketua jurulatih atau mentaliti pemain yang sudah terbiasa dengan corak permainan seperti itu apabila mendahului.

Jika kita perhatikan setiap perlawanan yang berlangsung dalam liga super Malaysia ia sangat pasif dan tidak banyak menyerang dan ia sangat ketara mahupun di peringkat antarabangsa sekalipun.

Situasi itu sering dapat dilihat apabila pasukan mereka sudah berada di hadapan, pemain mula memperlahankan tempo permainan dengan kerap melakukan hantaran kebelakang termasuk pemain pertahanan bertukar-tukar hantaran sesama mereka.

Jika melihat corak permainan juara bertahan JDT pula, mereka sentiasa mempamerkan corak permainan menyerang dan ‘dahagakan’ gol, oleh itu tidak hairan apabila mereka berjaya menjaringkan 51 gol dan hanya bolos satu gol sahaja dalam 13 perlawanan.

Dengan prestasi semasa JDT, tidak mustahil mereka mampu menjaringkan lebih 100 gol pada penghujung musim ini.

Dalam pada itu, mencuit sedikit aksi di Liga Perdana Inggeris (EPL), tidak dapat dinafikan corak permainan di liga tersebut sangat berintensiti tinggi yang boleh dijadikan contoh.

Selain corak permainan, antara perkara positif yang boleh diikuti adalah mentaliti ‘menang’ dalam setiap pemain di mana mereka tidak cepat putus asa atau ‘down’ apabila ketinggalan.

Dengan bola sepak di Malaysia semakin maju dan berkembang, tidak mustahil satu hari nanti Liga Super mampu menjadi liga terbaik di Asia Tenggara dan menjadi antara yang terbaik di Asia.