Jangan pandang rendah Selangor FC, Stadium Shah Alam akan menjadi lebih bagus dari SSI

1,499

Baru-baru ini seorang wartawan penyiaran sukan luar negara yang dikenali sebagai Andy Penders ada memuat naik beberapa gambar di laman sosial IG miliknya yang menunjukkan ilustrasi-ilustrasi stadium terkenal di Malaysia.

Terdapat beberapa ilustrasi stadium yang dikongsikan antaranya milik Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Stadium Darul Makmur milik pasukan Sri Pahang FC dan juga Stadium Shah Alam.


Ramai peminat memberikan reaksi yang berbeza serta teruja melihat ilustrasi itu dan tidak terlepas juga pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi respon dalam kongsian ilustrasi SSI itu.

“Jangan galakkan saya, awak memberikan saya idea,” komen TMJ pada hantaran tersebut.

Para pengikut yang lain turut memberi respon dan menyokong TMJ untuk menaik taraf SSI sesuai dengan ilustrasi yang dikongsikan itu.

Namun lain pula yang berlaku dalam ruangan komen pada ilustrasi Stadium Shah Alam apabila pemain JDT Liridon Krasniqi yang dikenali sebagai Mat Don dalam kalangan peminat bola sepak negara dilihat meninggalkan komen yang bersifatkan negatif.

“Mungkin dalam 4000 tahun lagi,” komen pemain tengah kebangsaan itu.

Perkara ini tidak seharusnya ada dalam mentaliti seorang pemain negara kerana setiap perubahan boleh dilakukan dan tidak perlu menunggu lama seperti yang dikatakan.

Mengikut perancangan yang telah dibuat sejak awal tahun lalu oleh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dengan keluasan 76.08 hektar itu akan mempunyai sebuah stadium bertaraf dunia.

Stadium Shah Alam yang baharu itu nanti dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi dan dikatakan setaraf malah mungkin lebih hebat dari stadium ternama di Liga Perdana Inggeris (EPL), sekaligus mengatasi SSI yang sebelum ini diiktiraf sebagai stadium terbaik di dunia pada tahun 2020.

Para penyokong pasukan Red Giants teruja menantikan perubahan yang bakal membawa wajah baru buat gelanggang keramat mereka sejak 16 Julai 1994 lagi.

Tambahan lagi, kapasiti penonton bagi stadium tersebut akan dinaik taraf menjadi 35,000-45,000 dan tempat duduk juga akan dilengkapi dengan sistem penyejukkan tempat duduk bagi memberi keselesaan sewaktu mereka menonton perlawanan kelak.

Banyak perancangan yang dibuat bagi menaikkan mutu dan kualiti Stadium Shah Alam untuk memastikan kepuasan penonton apabila menghadiri perlawanan pasukan Selangor sekali gus meningkatkan semangat juang para pemain demi lencana di dada.

Melihat dari segi kewangan dan kemampuan pasukan Selangor sekarang ini tidak mustahil mereka boleh menjadikan Stadium Shah Alam sebagai sebuah stadium yang lebih gah dan prestij berbanding stadium-stadium yang terkemuka lain.