Terima kasih Selangor kerana tak nak Saravanan, kami berjaya dapatkannya secara percuma – Bojan Hodak

467

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak bersyukur kerana berjaya mendapatkan T Saravanan pada musim ini selepas Selangor FC tidak mahu mengekalkan pemain itu.

Beliau begitu gembira kerana Saravanan telah berjaya menyumbang kepada pasukan itu sejak menyertai daripada jiran setempat mereka.


“Kita ada Saravanan yang mana pasukan Selangor tidak mahukannya, saya mahu ucap terima kasih kepada mereka.

Beliau berjaya menyumbangkan empat gol dalam lima atau enam perlawanan terakhir, kami dapatnya secara percuma,”

katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama-sama Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad; Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa; Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Sementara itu, beliau berharap pasukannya dapat menambah lagi sekurang-kurangnya dua orang pemain pada jendela pendaftaran kedua pemain akan datang.

“Saya sentiasa mahukan dua orang pemain, namun saya tidak boleh beritahu di posisi yang mana satu.

Tetapi itu semua kena tanya kepada Stanley dan juga pihak pengurusan sama ada boleh bawa masuk pemain lagi.”

Hodak menganggap beliau sudah membawa pasukan itu di tahap yang terbaik dengan kekangan kewangan yang ada.

Jelasnya, beliau telah melepasi sasaran 21 mata yang diletakkan Stanley untuk separuh pertama musim ini.