Annuar Musa mahu kembali dalam kancah bola sepak?

143

Ketika peminat sedang hangat memperkatakan mengenai Kelantan FC yang sedang bergolak dan kontroversi membabitkan pemiliknya Norizam Tukiman, serta berita mengenai usahawan kosmetik popular Datuk Seri Hasmiza Othman (DSV) yang berminat untuk memiliki kelab itu, kini Tan Sri Annuar Musa pula dikaitkan dengan kelab bola sepak di negeri itu.

Ia susulan Annuar Musa yang juga merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sejak 2009 sehingga 2016 dikaitkan dengan status pemilikan kelab di negeri itu semula selepas beliau dilihat membuat kongsian di laman Facebook miliknya yang bertemu dengan pihak pengurusan dan kejurulatihan Kelantan United FC.


Perkongsian tersebut umpama memberi bayangan awal bahawa beliau mahu kembali dalam kancah bola sepak Kelantan namun kali ini beralih kepada pasukan Kelantan United dan bukan The Red Warriors.

“Alhamdulillah petang tadi sempat bertemu dan sembang santai bersama pengurusan KELANTAN UNITED FC, pengurus dan jurulatih pasukan.

Terima Kasih kerana mendapat sedikit maklumat awal pasukan. Sama-sama kita fikirkan bagaimana kegemilangan bolasepak kelantan boleh kita pulihkan,

Insyaallah. Kena yakin KLATE GERENTI BOLEH! Kemah Keming Set Kito,”

tulisnya.

Untuk rekod sepanjang tempoh beliau mengemudi KAFA, banyak gelaran yang diraih antaranya kejuaraan Treble pada tahun 2012 di mana Kelantan FA telah memenangi Piala Malaysia, Liga Super dan juga Piala FA.

Bagaimanapun samada benar atau tidak Annuar Musa akan kembali dalam kancah bola sepak masih lagi belum diketahui.

Dalam pada itu, sejak Zamsaham menyatakan kesediaannya untuk melepaskan kelabnya itu kepada pihak yang berminat, bekas penaja kelab itu DSV terus menunjukkan minat untuk mengambil alih pasukan itu dengan meletakkan beberapa syarat.

Bagaimanapun selepas berita mengenai keinginan ahli perniagaan itu untuk mengambil alih pasukan, Zamsaham seperti berat melepaskan kelab kesayangannya itu apabila mengumumkan mengenai projek pusat latihan kelab itu yang bakal direalisasikan.

Malah beliau juga baru mengumumkan kehadiran pemain import baru dari Indonesia iaitu Natanael Siringgoringo sekaligus menguatkan lagi bahawa beliau akan terus kekal sebagai pemilik kelab itu.

Rata-rata peminat juga berdiri teguh di belakang Zamsaham dan tidak mahu DSV mengambil alih kelab itu walaupun pernah memberi impak besar kepada pasukan itu ketika menjadi penaja utama pasukan itu pada 2016.

Ketika itu, pasukan itu mendapat liputan meluas apabila DSV telah mengenakan syarat bahawa jersi dan stadium pasukan itu perlu mengikut warna tema kegemarannya iaitu merah jambu.

Jika impian untuk menjadi pemilik kelab tidak kesampaian, mungkin DSV dan Zamsaham boleh bekerjasama untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu? Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.