Sri Pahang FC pancing ‘ubi muda’ Bahrain untuk perkuat bahagian tengah

251

Khalifa Issa Allafi tonggak tengah pasukan kebangsaan B-23 Bahrain dikatakan bakal menyarung jersi Sri Pahang FC menjelang jendela perpindahan kedua awal Julai nanti.

Menjengah ke ruangan Instagram milik pemain itu, Khalifa Issa memulakan karier bola sepaknya bersama kelab East Riffa Club di Bahraini Premier League.


Selepas mempamerkan prestasi yang bagus, beliau telah menarik minat Manama Club yang turut beraksi dalam saingan liga yang sama pada Jun 2022.

Biarpun tiada butiran lanjut mengenai rekod pemain berusia 21 tahun ini, namun kemasukan beliau adalah bagi menguatkan lagi di bahagian tengah yang merupakan nadi utama dalam setiap pasukan bagi mengawal perlawanan.

Kemasukan beliau akan menggantikan slot pemain kuota Asia yang ditinggalkan oleh pemain dari Uzbekistan iaitu Sherzod Faziyev.

Kehadiran Khalifa Issa ini sedikit sebanyak akan melegakan ketua jurulatih Fandi Ahmad kerana beliau kini mempunyai pilihan bagi menggantikan tempat Azam Azih yang kini dihimpit dengan masalah kecederaan.

Rata-rata peminat Tok Gajah nyata tidak sabar untuk menanti kedatangan Khalifa Issa ini kerana mahu pasukan kesayangan mereka meneruskan rentak kecemerlangan dalam saingan ini.

Saingan Liga Super pada musim ini boleh dikatakan antara yang terbaik selepas mengharungi beberapa musim yang mengecewakan.

Sri Pahang kini berada di kedudukan keempat liga selepas 14 perlawanan dengan berjaya mengutip 28 mata hasil lapan kemenangan, empat seri dan dua kekalahan.

Selain Khalifa Issa, Sri Pahang juga dijangka akan membawa masuk beberapa pemain baru bagi memperkuatkan pasukan untuk mengharungi baki saingan liga musim ini.