Ada kata saya tak hargai sebab nak jual pingat, tapi pernahkah pasukan yang saya main hargai saya? – Jamsari Sabian

2,567

Jurulatih Kelantan United FC, Jamsari Sabian meminta maaf kepada pihak yang tersinggung apabila beliau menyebut nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), dalam hantaran mengenai niatnya untuk menjual medal Piala Malaysia.

Katanya, beliau sedar ada sebilangan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tidak selesa dengan perkara itu dan beliau tidak mahu ia punca penyokong berbalah.


“Saya dengar ramai penyokong JDT yang marah dan bising saya tag TMJ, cuma saya sebagai bekas pemain bola sepak saya tengok apa yang baginda dah lakukan.

Saya tag jikalau baginda berminat tetapi jika tidak tiada masalah, saya cuma tak nak disebabkan benda ini penyokong bergaduh,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, beliau terpaksa menjual pingat Piala Malaysia yang dimenanginya bersama MPPJ pada tahun 2003 itu disebabkan mahu melunaskan hutang lama dan memulakan perniagaan.

Beliau bagaimanapun menafikan ia disebabkan berlaku isu gaji bersama Kelantan United.

“Saya nak jelaskan bahawa saya mahu jual ini bukanlah disebabkan ada masalah kewangan melibatkan Kelantan United, tetapi kerana hutang terdahulu.

Ini adalah pingat terakhir saya, pingat ketika saya menang treble dengan Kedah saya sudah sedekah 100 peratus untuk Palestin dan Syria sebelum ini, ada yang kata macam saya tak hargai pula tetapi pernahkah pasukan yang saya main sebelum ini hargai saya?”

Jamsari berkata, beliau tidak kisah pihak mana yang mahu membeli pingat tersebut, tidak kisahlah dari kalangan diraja mahupun rakyat biasa, asalkan harga yang ditawarkan berbaloi.